*AKHIRNYA rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah
(II) (1993) Pindaan 2015 diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri
Kelantan. Tidak sahaja Adun Pas, YB-YB Umno juga menyokong.
Ini merupakan kali kedua rang undangundang kesalahan jenayah syariah
hudud, qisas dan takzir dibentang dalam Dun Kelantan selepas kali
pertama diluluskan pada 25 November 1993.
Sejak hari pertama dibentangkan semua berjalan lancar dengan wakil dari
Pas dan Umno memberi hujah-hujah munasabah untuk menyokong
undang-undang berlandaskan al-Quran ini.
Seperti yang ditegaskan oleh Adun Umno Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che
Ahmad, beliau menyokong dan akan membantu dalam memastikan pelaksanaan
hukum ALLAH.
Kata beliau: “Saya sokong hudud ini kerana ALLAH. Umno sokong juga
kerana ALLAH, bukan kerana politik, apa juga cabaran kita akan hadapi
kerana ALLAH.”
Sebenarnya sejak dulu semuanya sudah jelas dan tidak ada apa hendak
dipertikaikan lagi. Tolak politik dan lain-lain sentimen, setiap umat
Islam wajib menegakkan hukum ALLAH.
*MEMANG ada tentangan daripada sesetengah pihak mengenai hukum hudud yang diluluskan oleh Dun Kelantan.
Beberapa NGO dan parti bukan Islam, termasuk MCA yang menjadi sekutu BN pun menentang.
Seperti yang telah dijelaskan dalam pembentangan tidak ada apa yang
harus dibimbangkan oleh mana-mana pihak sebab peruntukan dalam
undang-undang ini hanya untuk orang Islam dan tidak akan dikuatkuasakan
ke atas saudara-saudara kita yang bukan Islam.
Orang bukan Islam tidak betul-betul memahami hukum al-Quran, jadi
mereka tidak perlu campur dalam urusan dan peraturan Islam. Mereka tidak
mengetahui hudud, jadi apa perlunya menentang hudud.
Sejak beribu-ribu tahun dulu telah dibuktikan hukum Islam tidak menyusahkan orang bukan Islam.
DAP yang merupakan sekutu utama dalam PR pun terang-terang sejak awal
menentang apa yang hendak diluluskan di Dun Kelantan. Amaran demi amaran
telah diberi kepada Pas supaya tidak meneruskan pembentangan penting
itu.
Malah, kalau mengikut kenyataan beberapa pemimpin utama DAP, mereka
macam bersedia untuk tidak lagi bersama Pas. Pas perlu terus bertegas
dalam menegakkan hudud, walaupun itu bererti tidak lagi bersama DAP.
Parti Islam itu boleh berdiri sendiri, insya-Allah.
*KATA Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof kes perceraian di Terengganu berada pada tahap membimbangkan.
Beliau memberi perangkaan: Sepanjang 2014, sebanyak 11,415 perkahwinan
direkodkan, manakala kes penceraian 2,455, di mana 125 daripadanya
bercerai selepas setahun berkahwin, dan 838 kes melibatkan perkahwinan
melebihi lima tahun.’
Sebab itu kerajaan negeri memperkenalkan program ‘Resepsi Walimah Perdana 1’ yang antaranya bagi merai
pasangan pengantin yang berkahwin tahun lalu dan hubungan mereka masih kekal sehingga ke hari ini.
Program berkenaan akan memberi bimbing untuk suami isteri seawal enam
bulan usia perkahwinan bagi melayari alam rumah tangga bersama di dunia
dan akhirat.
Mereka yang mengikuti program ini juga akan diberi RM200. Timbul
pertanyaan: apakah kursus praperkahwinan tidak memberi kefahaman rumah
tangga sehingga kerajaan perlu mengadakan lagi kursus @ program khas
setelah pasangan berkahwin?
Memang niat mengadakan program lepas kahwin ini baik. Tetapi pada hemat
saya adalah lebih baik sekiranya kandungan kursus sebelum kahwin itu
dikemaskan dan dilengkapkan, supaya kita tidak menghabiskan duit untuk
membimbing semula pasangan yang sudah kahwin.
*AKHIR kalam, masih mengenai perkahwinan, tetapi ada kaitan dengan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang akan dilaksanakan tidak lama
lagi. Walaupun kerajaan telah menjelaskan banyak yang akan dikecualikan
dari cukai ini, tidak pula disebut tentang mas kahwin.
Maka ada kebimbangan dalam kalangan yang akan berkahwin bayaran kahwin pun akan dikenakan GST. Tetapi ada penjelasan
dari Selangor. Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Jabatan Agama
Islam Selangor, Nurhamizah Othman berkata, harga Mas Kahwin kekal
sepertimana yang termaktub dalam Undang-undang keluarga Islam di bawah
kuasa Sultan.
“Di Selangor kita sudah putuskan pada 12 Mei 2009, iaitu sebanyak RM300
kadar mas kahwin bagi anak dara dan janda tanpa had maksimum. Ia kekal,
GST tidak dikenakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan