Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
 
 
 
IPOH - Pendakwah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias diminta tidak meneruskan hasrat untuk berhenti daripada berceramah seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu disuarakan berikutan Mohamad Kazim atau dikenali Ustaz Kazim telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan dakwah di negeri ini.

“Ustaz Kazim perlu terus menjadi pendakwah kerana sumbangannya begitu besar dalam menarik minat semua golongan masyarakat tidak kira dari golongan remaja hingga ke orang tua.

“Saya yakin beliau sebagai seorang individu yang ikhlas akan terus berdakwah kepada masyarakat khususnya orang Islam,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Beliau berharap, teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani terhadap aliran dakwah masa kini yang dilihat menjurus ke arah ‘penglipur lara’ tidak diputar belit oleh mana-mana pihak.

“Ustaz Kazim sendiri telah memaklumkan beliau menerima teguran itu dengan baik tetapi saya tidak mahu ada pula yang ambil kesempatan itu untuk melihat beliau sebagai hanya pendakwah lawak jenaka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak berniat untuk masuk campur tentang kenyataan yang dikeluarkan Harussani, namun beranggapan pendakwah bebas mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyampaikan ceramah.

“Saya tidak bermaksud untuk menambahkan lagi kekusutan, namun seseorang pendakwah itu mempunyai kaedah tersendiri  untuk  menyampaikan dakwahnya,” katanya.

Dalam program Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta, Selasa lalu, Ustaz Kazim membayangkan hasrat untuk berhenti daripada berceramah berikutan kesal dengan beberapa isu membabitkan dirinya.