SHAH ALAM: Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi melepaskan semua jawatannya dalam PAS dan menjadi ahli biasa bagi membolehkan beliau bergerak bebas tanpa melanggar sebarang sekatan dari PAS.
"Saya menjadi ahli biasa sekarang selepas 33 tahun memegang jawatan dalam PAS," kata Phahrolrazi, yang mula aktif dalam PAS sejak 1982, lapor The Malaysian Insider.
Beliau juga memaklumkan tidak akan menjadi perwakilan dalam muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor pada Jun ini.
Sebelum ini, Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat menasihatkan agar semua pemimpin PAS tidak terlibat dengan sebarang aktiviti PasMa, badan bukan kerajaan (NGO) yang pro-Pakatan Rakyat (PR) itu.
Semalam, Phahrolrazi memberikan ucapan sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah buat kali terakhir dalam mesyuarat agung kawasan itu yang dirasmikan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.
Phahrolrazi berkata beliau kini akan memberi tumpuan untuk meredakan ketegangan dalam Pakatan Rakyat ekoran perbalahan tentang isu hudud.
"Saya yakin tugas sebagai presiden PasMa sekarang semakin banyak ekoran perkembangan yang berlaku dalam PAS dan PR," katanya berikutan hubungan yang semakin tegang antara PAS dan sekutunya dalam PR – DAP dan PKR.
Sejak penubuhannya tahun lalu, PasMa menegaskan akan menjadi pelobi utama agar PAS kekal bersama Pakatan Rakyat.
Ekoran pembentangan Enakmen Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Rabu, hubungan PAS dengan sekutunya semakin tegang.
DAP akan bermesyuarat Isnin ini bagi menentukan kedudukan hubungannya dengan parti Islam itu.
Dalam mesyuarat agung Kuala Kedah semalam, jawatan Phahrolrazi diambil alih timbalan beliau Datuk Amirudin Hamzah tanpa sebarang pertandingan.
Bagi jawatan timbalan yang dipertua pula, ia dimenangi Nasir Mustafa yang mengalahkan Fauzi Husin manakala naib yang dipertua dimenangi tanpa bertanding oleh Umar Saad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.