Sultan Johor Sultan
Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memberi pengampunan dan
pembebasan seorang banduan serta meringankan hukuman 10 banduan
bersempena Istiadat Kemahkotaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata banduan
yang dibebaskan itu merupakan juvana ketika melakukan kesalahan bunuh
pada 2004, yang dilepaskan pada 19 Mac baru-baru ini selepas mengadap
Sultan Johor.
"Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 5 Mac lepas.
"Mesyuarat terbabit telah menimbangkan 10 kes rayuan pengampunan
hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000
dan 13 kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan
54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000," katanya kepada pemberita di
Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.
Beliau berkata mesyuarat tersebut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
bersama-sama tiga orang Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang
dilantik Sultan Johor.
Ismail berkata atas nasihat Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor,
Sultan Ibrahim menitahkan banduan tersebut yang kini berumur 28 tahun
diberi pengampunan dan dibebaskan dengan syarat dikehendaki mengadap
Sultan Johor bagi memastikan benar-benar telah insaf.
Sehubungan itu, katanya banduan yang dibebaskan di bawah kes KHETS itu,
dibawa mengadap Sultan Johor pada 12 tengah hari, 19 Mac lepas, di
Istana Bukit Serene, bersama-sama ibu dan bapanya serta diiringi Pegawai
Penjara.
Dengan perintah pengampunan dan pembebasan berkenaan, diharapkan
banduan itu menggunakan peluang kedua untuk manfaat dirinya, keluarga,
masyarakat serta negara, katanya.
Bagi peringanan hukuman terhadap 10 banduan pula, Ismail berkata Sultan
Ibrahim berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman
penjara seumur hidup terhadap tiga banduan yang melakukan kesalahan di
bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Turut diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup ialah tiga
banduan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api
(Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.
"Seorang banduan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta
Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta tiga lagi banduan yang
melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kes bunuh)
pula diringankan daripada hukuman gantung sampai mati kepada hukuman
penjara sepanjang hayat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.