HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2015

[UPDATED - BERGAMBAR] Bantah GST: Dr.Hatta, CheguBard & Nasaei Diantara Yang Ditahan...

KELAB GREENBOC



 
 
Seramai 79 peserta demonstrasi membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berhimpun di Wisma Kastam Diraja Malaysia, Kelana Jaya sejak pagi tadi ditangkap polis petang ini.

Mereka termasuk Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin dan Ahli Parlimen PSM Sungai Siput Jeyakumar Devarah.

Turut ditahan aktivis DAP Sefura Othman, aktivis Muhammad Safwan Anang@Talib dan Khairol Najib Hashim.

"Kesemuanya 79 yang ditahan, kami semua dalam trak sekarang ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kelana Jaya oleh 3 trak polis," kata Arutchelvan ketika dihubungi The Malaysian Insider kira-kira 6.30 petang tadi.

Sebelum itu, polis mula bertindak menahan peserta demonstrasi Bantah GST anjuran PSM itu selepas mereka enggan berundur daripada kawasan itu apabila tamat waktu pejabat.

Kekecohan mula terjadi apabila Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Azmi Abu Kassim menyatakan wisma itu akan ditutup.

"Kesemua kakitangan dan pegawai kastam sudah balik, dah hampir tamat waktu pejabat, jadi anda perlu beredar," katanya kepada peserta demonstrasi.

Sejurus selepas kenyataan Azmi, kekecohan mula berlaku dan pihak berkuasa mula menangkap peserta demonstrasi dan berlaku pergelutan.

Protes "duduk dan bantah" yang bermula sekitar jam 11 pagi bertujuan menuntut pihak kastam menjawab sebanyak 106 soalan mengenai GST, tetapi bertukar menjadi kecoh ekoran halangan pihak berkuasa.

Terdahulu pagi ini, seorang peserta demonstrasi, Khalid Ismath, ditahan polis semasa mereka beramai-ramai masuk ke bangunan Wisma Kastam itu.

Ia disahkan Arutchelvan yang berkata aktivis itu memaklumkan kepadanya yang dia ditangkap oleh Azmi.

"Khalid ditangkap ketika mahu memasuki kaunter penerangan awam. Beliau sendiri hantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada saya," kata Arutchelvan kepada The Malaysian Insider.

Arutchelvan berkata mereka tidak tahu ke mana Khalid dibawa kerana panggilan yang dibuat ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Selain PSM yang merupakan penggerak utama, protes turut disertai Pemuda PAS dan pertubuhan bukan kerajaan belia seperti SAMM, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Lensa Anak Muda Malaysia dan Angkatan Pemuda Bangsa Malaysia. -TMI



Lebih ramai ditahan sokong peserta demonstrasi bantah GST

Lebih ramai penyokong demonstrasi bantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ditangkap malam ini di luar balai polis Kelana Jaya, di mana mereka berkumpul sebagai tanda solidariti kepada mereka yang ditahan awal hari ini.

Menurut posting yang dibuat di laman Twitter, antara mereka yang ditahan merupakan aktivis pelajar Adam Fistival Wilfrid dan seorang pembantu kepada Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Perhimpunan pada malam ini diadakan bagi menuntut pembebasan 80 orang yang ditangkap ketika mengadakan protes duduk bantah di luar pejabat Wisma Kastam di Kelana Jaya terdahulu hari ini demi membantah GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April.

Orang ramai malam ini berkumpul di luar balai polis itu, di bawah pemerhatian anggota 'light strike force' yang lengkap berpakaian topi keledar anti-rusuhan dan perisai.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang berada di tempat kejadian menulis tweet mendakwa, dalam cubaan mengarahkan orang ramai bersurai, polis bertindak menangkap mereka, tanpa memberi sebarang amaran.

Katanya, mereka yang ditahan awal hari ini masih tidak diberikan akses kepada peguam mereka.

Beberapa orang peguam yang turut hadir pada perhimpunan malam ini kelihatan cuba memasuki balai polis untuk berjumpa dengan tahanan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim adalah antara wakil rakyat DAP yang turut bersama orang ramai di situ.

Keseluruhannya, seramai 83 orang ditangkap hari ini, termasuk 3 orang yang ditangkap di luar balai polis malam ini.

Tangkapan sebelum ini melibatkan 79 orang yang dibuat dilakukan sewaktu pergelutan antara penunjuk perasaan dan polis di dalam pejabat Jabatan Kastam, yang menyaksikan mereka kemudiannya dibawa menaiki trak black maria polis.

Sebelum 79 orang itu, orang pertama ditangkap dari kumpulan Bantah GST itu ialah aktivis Khalid Ismath.

Sekumpulan lebih 100 orang sejak pagi tadi berhimpun di Wisma Kastam itu dalam satu protes “duduk dan bantah” meminta jawapan kepada 106 soalan mereka berhubung GST yang diserahkan dalam satu memorandum kepada pemangku pengarah kastam Kuala Lumpur Abd Gani Othman.

Protes yang dianjurkan Gabungan Bantah GST itu, dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai penggerak utamanya, disertai anggota PAS dan pertubuhan bukan kerajaan belia seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) dan Angkatan Pemuda Bangsa Malaysia.

Polis mengarahkan mereka menghentikan protes itu selepas jam 5 petang apabila waktu pejabat sudah tamat, dan menangkap majoriti penunjuk perasaan yang enggan bersurai.

Antara yang ditangkap terdahulu hari ini ialah setiausaha agung PSM S Arutchelvan, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shahrin, Ahli Parlimen PSM Sungai Siput Jeyakumar Devarah dan pesara guru Annie Ooi, yang juga dikenali sebagai "Aunty Bersih".

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan Bernama berkata, mereka yang terlibat menyerbu masuk ke Kompleks Kastam di Kelana Jaya ketika mengadakan demonstrasi Bantah GST itu boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.

Katanya, polis Selangor sedang meneliti kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Ini merupakan satu pencerobohan yang mereka lakukan dan biarlah pihak polis Selangor meneliti dulu kedudukan mereka terbabit," katanya di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, malam ini.

"Kita tidak boleh biarkan keadaan begini berterusan, saya hairan dengan apa yang mereka nak, kenapa sampai macam itu sekali, seolah-olah hendak menawan Kompleks Kastam itu," katanya.

Mengulas penggunaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kejadian itu, Khalid berkata: "Kalau kita perlu gunakan FRU, kita gunakanlah. Kalau bersebab, untuk kita mengatur kedudukan, dan terpulang pada tindakan Ketua Polis Selangor. Memang saya benarkan bagi memastikan keadaan terkawal."
-TMI


Tiada ulasan: