shahbudindotcom
Tetapi
kali ini saya ingin memuji Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi
yang memperlihatkan ketegasan dan tidak bertolak ansur dalam insiden
demo anti salib di Taman Medan, Petaling Jaya.
Zahid
mengatakan peserta demo itu tetap tertakluk kepada Akta Hasutan 1948
dan tindakan akan diambil terhadap mereka. "Saya tak kira siapa,
tindakan harus diambil terhadap mereka," katanya yang juga Naib Presiden
UMNO dengan undi tertinggi dua kali berturut-turut.
Dalam
masa yang sama, Zahid juga mengesahkan anggota UMNO yang terlibat dalam
demo itu akan diambil tindakan disiplin yang sewajarnya.
"Sudah
tentu, sudah tentu, sudah tentu...kerana mereka melanggar
undang-undang. Dalam UMNO kita mesti hormat agama lain. Mereka harus
hadapi akibatnya," katanya lagi.
Ketegasan
seperti ini amat ditunggu-tunggu dan setidak-tidaknya mampu membawa
kelegaan kepada semua kaum dan agama di negara ini. Beliau telah
meletakkan nilai beragama dan menghormati agama lain di tempatnya yang
betul, sesuai dengan kedudukan rakyat yang berbilang kaum dan agama di
negara ini.
Zahid
juga telah berjaya mengembalikan keyakinan ramai berikutan pendirian
mengecewakan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelumnya yang
mengatakan peserta demo anti salib itu tidak melibatkan sebarang unsur
hasutan.
Mungkin
kerana abangnya, Abdullah Abu Bakar yang mengetuai demo itu, Khalid
juga berbelit-belit dalam alasannya dengan berkata, "Ini bukan menyentuh
isu agama atau agama Kristian. Ia cuma bantahan masyarakat di sana
tentang kedudukan gereja itu".
Ternampak
pelik hujah beliau kerana bukankah antara Kristian dan gereja saling
kait-mengait? Bagaimana boleh mengatakan bantahan berkaitan gereja tidak
ada kena-mengena dengan agama Kristian?
Demo
anti salib itu sebenarnya lebih memalukan Islam kerana ia
memperlihatkan umat Islam seolah-olah begitu lemah iman hingga takut
kepada sesuatu lambang agama lain dan mengabaikan aspek pendidikan,
pengajaran, iman, takwa dan sebagainya dalam mengukuhkan keimanan.
Sebelum
berdemo, mereka seharusnya bukan saja menyedari mengenai hakikat
kebebasan beragama, tetapi juga memahami bahawa wujudnya gereja di
kawasan itu tentu saja setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Kalau
gereja itu didirikan mengikut undang-undang, apa masalahnya? Kalau
gereja itu didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa,
maka meletakkan lambang salib tentulah juga tidak ada salahnya?
Berbeza
dengan tindakan terhadap pihak lain yang terlibat dengan demo di mana
ada antara mereka ditangkap pada waktu tengah malam, dibiarkan bermalam
di lokap dan sebagainya, sebaliknya dalam kes ini Abdullah atau
dipanggil "Lang" oleh Khalid, hanya diambil keterangannya melalui
panggilan telefon saja.
Nampaknya,
Ketua Polis Negara yang terkenal dengan pendekatan menggunakan laman
Twitter dalam tindakannya sebelum ini telah maju setapak lagi dengan
hanya menggunakan telefon saja untuk mengambil keterangan.
Walaupun
berbeza pendirian dengan Khalid, Zahid dalam hal ini harus kekal dengan
ketegasan bahawa peserta demo anti salib itu boleh diambil tindakan di
bawah Aka Hasutan sebagaimana ramai yang lain sudah disabitkan dengan
akta itu.
Sebagai
Naib Presiden UMNO yang makin disebut-sebut sebagai bakal pemimpin masa
depan, Zahid juga mesti mengekalkan pendirian untuk mengambil tindakan
disiplin terhadap ahli UMNO yang terlibat dengan demo itu.
Setelah
menyatakan pendirian dan ketegasannya itu, dengan kedudukan sebagai
Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden UMNO, tugas Zahid seterusnya
ialah memastikan kata-katanya masih "laku" dan tetap menjadi kenyataan.
Jika sebaliknya, pujian ini akan ditarik balik semula...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan