SHAH ALAM: Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd
Said, menyifatkan tiada pembangunan yang berlaku di kawasan bekas ahli
parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 17 tahun pakatan pembangkang
mengambil alih.
Ujarnya pembangunan terhenti sejurus selepas Anwar disingkirkan
daripada Umno-Barisan Nasional (BN) selepas dijatuhi hukuman penjara
selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan
penyalahgunaan kuasa pada tahun 1999.
"Pembangunan oleh kerajaan Persekutuan ataupun negeri dalam tempoh 17
tahun ini di bawah ahli parlimen Pakatan Rakyat memang telah
terberhenti.
"Maksud saya sepanjang 17 tahun tiada satu pun pembangunan baru yang
berlaku di Permatang Pauh, yang ada ni semua sedia ada sebelum atau pada
ketika ahli parlimen waktu itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan
Perdana Menteri daripada Umno yang membangunkan Permatang Pauh.
"Selepas itu tiada pembangunan baru kecuali daripada pihak swasta,
taman-taman perumahan baru dan sebagainya," katanya secara eksklusif
kepada Antarapos.
Menyentuh mengenai peluang pekerjaan di Permatang Pauh, ujarnya perkara
itu tidak menimbulkan masalah kerana kawasan itu berhampiran dengan
tempat perindustrian.
"Kalau ikut Permatang Pauh ni adalah satu kawasan pinggir industri jadi
soal pekerjaan bukan satu isu berat. Peluang pekerjaan itu memang ada
di sana daripada dulu kerana berdekatan dengan dengan industri Prai dan
Mak Mandin, hanya bersebelah sahaja dengan kawasan industri.
Namun tahap kemiskinan di Permatang Pauh masih tinggi dan kerajaan
negeri di bawah pimpinan Lim Guan Eng gagal membantu rakyat miskin
sehingga mereka sering meminta bantuan daripada Umno-BN.
Katanya lagi kerajaan negeri ada menyediakan bantuan tetapi ia tidak
mencukupi, seperti Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu
Tunggal dan OKU peruntukan hanya diberikan RM100 setahun sekali.
Begitu juga dengan Program Skim Pelajar Emas, setiap pelajar Sekolah
Rendah (Darjah 1 & 4) dan Sekolah Menengah (Tingkatan 1 & 4)
yang bersekolah di Pulau Pinang yang didaftarkan hanya menerima wang
sebanyak RM100 sekali sahaja.
"Tetapi isu kemiskinan memang ada, disebabkan kawasan-kawasan setempat
tanah-tanah pertanian yang makin berkurangan, kemudahan pembiyaan dan
sebagainya yang agak kurang membantu orang Permatang Pauh menyebabkan
segelintir masyarakat yang hidup dalam keadaan agak susah.
"Jadi selama ni kita di peringkat Umno Bahagian yang membantu orang miskin, warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.
"Dengan macam-macam program yang kita buat secara berkala atau pada
musim-musim tertentu, kita ambil alih jawatan sebagai ahli parlimen
Permatang Pauh ini untuk membantu dalam soal kemiskinan ini," katanya.
Apatah lagi menurut beliau, ahli parlimen kawasan berkenaan sebelum ini
sukar ditemui bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan kerana Anwar
jarang turun padang bertemu rakyat.
"Sebab ahli parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar ni tak tinggal di
sana. Bukan setakat tak tinggal di sana, beliau juga jarang balik ke
sana.
"Jadi saya rasa dalam hati orang-orang miskin Permatang Pauh ni apabila
mereka nak minta bantuan, pertolongan dan sebagainya akan ke pejabat
Umno.
"Sebab mereka tahu memang tak akan dapat temui Anwar dalam keadaan
kesibukan Anwar ke sana sini dan tak mempedulikan urusan dalam Permatang
Pauh," katanya kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan