Jawapan
mengelirukan mengenai sama ada "wang tunai", "aset" atau "unit" milik
1MDB yang disimpan di sebuah bank di Singapura ketika ini terus menjadi
"duri dalam daging" kepada Najib Razak dalam mempertahankan
kedudukannya.
Setelah
sekian ramai yang mempertikaikan jawapan yang diberikan Najib di
Parlimen mengenainya, kini bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad
pula tampil dengan mendakwa perbuatan Perdana Menteri itu adalah suatu
perbuatan berbohong yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah.
Beliau
mendakwa perbuatan Najib itu sebagai menyembunyi kesalahan dalam urusan
kerajaan dan ia adalah salah di bawah Seksyen 218 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda atau
kedua-duanya sekali.
Alamak, mungkinkah Perdana Menteri dengan segala kegemilangannya menghuni penjara pula selepas ini?
Dalam
jawapannya di Parlimen pada 10 Mac lalu, Najib mengatakan wang milik
1MDB dari Pulau Cayman berjumlah US1.103 bilion kini disimpan di BSI
Bank di Singapura bagi memudahkan pengeluarannya kerana wujud peraturan
ketat Bank Negara jika ingin mengeluarkan wang melebihi RM50 juta.
Bagaimanapun,
dalam jawapan bertulisnya di Parlimen Khamis lalu, Najib memberitahu
bukan wang tunai yang disimpan di Singapura itu tetapi ianya dalam
bentuk aset.
Menteri
Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah memberitahu kemudian, ia sebenarnya
adalah dalam bentuk unit tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut
mengenainya.
Menulis
di blognya, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu menjelaskan,
pembohongan pertama Najib ialah tidak ada wang tunai milik 1MDB yang
dibawa balik, manakala pembohongan kedua pula ialah tidak ada wang
tunai yang dimasukkan ke dalam akaun BSI di Singapura.
Sehubungan
itu, beliau mahukan pihak polis melakukan siasatan dan proses
undang-undang hendaklah diambil kerana ada unsur jenayah berkenaan kes
ini.
Dengan
menyerang, mengkritik, mendesak meletakkan jawatan dan kini mengaitkan
pula Najib dengan perbuatan berunsur jenayah yang boleh membawa hukuman
penjara sehingga tiga tahun, ia tidak lain adalah isyarat betapa Tun
Mahathir akan terus mengasak dan tidak berganjak sedikit pun daripada
pendiriannya.
Meskipun
Najib sudah bermadah Bugis dan mengungkit-ungkit sokongannya kepada Tun
Mahathir, terutama dalam pemilihan 1987, beliau nampaknya tidak goyah
dengan semua itu.
Adalah
jelas pendirian Tun Mahathir masih sekukuh Menara KLCC iaitu mahukan
Najib berundur bagi menyelamatkan masa depan UMNO dan BN dalam
pilihanraya akan datang sebagaimana yang sudah ditegaskannya beberapa
kali sebelum ini.
Mungkin
Tun Mahathir sedar agar sukar bagi pihak polis atau Ahmad Zahid Hamidi
selaku Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan siasatan terhadap Najib
dalam kes jenayah yang didakwanya ini, tetapi yang pastinya bekas
Perdana Menteri itu sedang menghimpun kekuatan persepsi rakyat untuk
terus memihak kepadanya.
Membangkitkan
kemungkinan melakukan kesalahan jenayah dan boleh dipenjara sehingga
tiga tahun, walaupun realitinya teramat sukar menjadi kenyataan
berikutan pemusatan kuasa terlalu kukuh melindungi seseorang yang
bergelar Perdana Menteri, apa yang Tun Mahathir mahukan ialah
pemenjaraan sokongan rakyat terus menghantui Najib.
Sama
ada dihadapkan ke muka pengadilan atau sebaliknya, Najib tetap dilihat
telah melakukan kesalahan moral yang besar iaitu memberi jawapan
bersifat bohong di Parlimen dan ini mudah disedari oleh sesiapa saja
yang melihat dua penjelasan berbeza telah diberikannya.
Dengan
itu, bukan saja keyakinan kepada Najib dalam UMNO terus berbelah bagi,
bahkan lebih mungkin menerima kesan buruk daripada penolakan rakyat yang
sukar dinafikan dalam pilihanraya akan datang.
Selagi
tidak berundur, walaupun cuba mencari kekuatan di sebalik madah Bugis
atau dengan bantuan pemulihan imej oleh Lim Kok Wing, Tun Mahathir
pastinya akan terus mengikis dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap
Najib yang mahu disingkirkannya itu.
Lagi Najib berdegil, lagi banyak langkah bakal ditunjukkan Tun Mahathir selepas ini.
http://myfunnyvideo.org/
BalasPadamRecommended Youtube Video For You!
* Tarian Giler
* Siapa tak ketawa memang tak normal
* Pembaca Berita Terlampau
* Cuba Jgn Gelak