HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Mei 2015

Bolehkah SPR tentukan calon untuk kita undi?




Oleh Maclean Patrick

 
Kerajaan seakan-akan ingin mengawal setiap aspek kehidupan kita selaku warga di negara ini. Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melayan cadangan pensyarah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah agar setiap calon pilihanraya perlu memiliki kredit Bahasa Melayu dalam SPM, ramai yang tidak berpuas hati.

Dan perasaan itu memang berasas, kerana atas merit bahasa sahaja, beberapa menteri mungkin perlu meletakkan jawatan. Apatah lagi bagi yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Melayu.

Demi berlaku adil, barangkali SPR patut menjalankan ujian kemahiran bahasa kepada bakal calon. Ujian itu diadakan ketika pencalonan oleh setiap parti politik. Ia perlu dibuat di lokasi neutral, dan keputusannya dipamerkan kepada umum.
Mereka yang gagal pula diberi pilihan untuk mengambil pelajaran bahasa di sekolah terpilih yang diluluskan SPR. Tentu sekali mereka perlu membayar yuran yang dikenakan GST, agar pada masa sama dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun secara serius, jika kita sampai ke satu tahap mewajibkan bakal calon untuk memiliki kredit dalam Bahasa Melayu untuk bertanding, ada sesuatu yang tidak kena dalam proses demokrasi di Malaysia.

Bolehkah SPR menentukan siapa yang kita undi?

Membaca sepintas lalu Akta Pilihan Raya 1958 akan memberikan sedikit gambaran kepada anda tentang bidang kuasa SPR dalam mengadakan pilihanraya di Malaysia. Akta itu perlu dibaca bersama dengan Perlembagaan Persekutuan kerana kedua-duanyalah yang memberi kuasa kepada SPR untuk menguruskan pilihanraya.

Artikel 47 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Mana-mana warganegara Malaysia yang bermastautin di Persekutuan Malaysia layak menjadi ahli – (b) senat, jika berusia tidak kurang daripada 30 tahun; (c) Dewan Rakyat, jika berusia tidak kurang 21 tahun, melainkan seseorang itu hilang kelayakan disebabkan Perlembagaan atau apa-apa undang-undang menurut Artikel 48.”

Artikel 47 secara jelas menyatakan seorang warga negara ini ada hak untuk bertanding pilihanraya. Klausa tentang hilang kelayakan, seperti yang disebut dalam Artikel 48, adalah mereka tidak gila, muflis, penjenayah atau bukan warganegara.

Langsung tidak disebut tentang tahap pendidikan. Tidak mengira latar pendidikan mereka, setiap warga boleh dan dibenarkan untuk bertanding. Ini tidaklah bermakna parti politik tidak boleh meletakkan syarat mereka sendiri. Hak mereka untuk meletakkan calon terbaik kepada rakyat.

Kebenaran ini memberikan tanggungjawab kepada parti untuk meletakkan calon terbaik mereka, dan ia terlihat pada tahap intelektual menteri kita hari ini. Jika calon itu tidak pintar, ia adalah salah partinya.

Dalam Akta Pilihan Raya 1958, jelas bahawa peranan SPR adalah untuk mengadakan dan mentadbir pilihanraya. Pengundi adalah tanggungjawab utama badan itu, dan tidak disebut tentang kuasa untuk menapis calon. SPR tidak bertanggungjawab terhadap mutu calon. Selagi mereka menepati kelayakan yang digariskan Perlembagaan, SPR wajib menerima mereka sabagai calon.

Justeru, SPR tidak boleh menetapkan siapa yang dibenarkan bertanding, selain apa yang telah disebut dalam Perlembagaan.

Ridhuan mungkin tidak pernah membaca Perlembagaan atau Akta Pilihan Raya 1958, tetapi tindakan SPR sendiri melayan cadangannya salah seluruhnya.

Untuk menetapkan dan menapis calon, melangkaui apa yang termaktub dalam Perlembagaan, adalah satu diskriminasi. Dan ini menunjukkan SPR bertentangan dengan idea mewujudkan pilihanraya yang bersih dan adil.

Tiada ulasan: