shahbudindotcom
UMNO
dan BN mungkin sukar menjangka mereka akan menang di Permatang Pauh
kerana ia memang kubu kuat Anwar Ibrahim dan PKR sejak sekian lama. Di
tambah dengan faktor simpati kerana Anwar kini berada di penjara, Dr Wan
Azizah dilihat tidak ada masalah besar untuk mengekalkan kerusi
tersebut.
Dengan wujudnya sedikit masalah antara PKR dengan PKR, yang menjadi isu hanyalah majoriti kemenangan saja.
Harapan
yang rasional bagi UMNO dan BN di Permatang Pauh ialah sama ada dapat
menambah jumlah undi, mengurangkan majoriti kemenangan atau menurunkan
undi yang diperolehi PKR.
Berdasarkan
keputusan pilihanraya 2013, PKR menang di kerusi itu dengan majoriti
11,721 di mana Anwar meraih 37,090 undi, manakala calon BN, Dr Mazlan
Ismail mendapat 25,369 undi. Jika calon BN kali ini, Suhaimi Shabudin
yang disokong oleh jentera dan kewangan daripada seluruh negara,
kejayaan dapat mencapai salah satu daripada harapan itu, ia tentu saja
sudah dianggap memadai.
Sebab
itu, jika diimbas daripada penetapan tarikh pilihanraya Permatang Pauh
ini, ia diadakan dua hari lebih lewat berbanding Rompin sedangkan
kekosongannya sudah diwartakan lebih awal lagi.
Pewartaan
kekosongan kerusi Permatang Pauh ialah pada 16 Mac manakala nahas
helikopter yang melibatkah kematian Jamaluddin Jarjis pula berlaku pada 4
April.
Secara
logik dan kebiasaan, tentunya pilihanraya Permatang Pauh perlu diadakan
lebih dahulu berbanding Rompin. Tetapi oleh kerana Rompin dianggap kubu
kuat BN serta tiada masalah untuk mencapai kemenangan yang besar dan
gelombang kemenangannya pula mahu dialirkan untuk mempengaruhi pengundi
di Permatang Pauh, maka itulah sebabnya ia diadakan lebih awal.
Namun
semua perancangan nampaknya tidak menjadi. Rompin bukan saja tidak
menjanjikan kemenangan lebih besar, bahkan majoriti BN jauh merosot.
Daripada majoriti 15,114 pada 2013, kini jumlahnya hanyalah 8,895 undi
saja.
Meskipun
undi Pas tidak banyak berbeza, tetapi undi BN mengalami penurunan yang
ketara. Daripada 30,040 pada 2013, yang dicapai oleh Jamaluddin Jarjis,
yang mengundi BN kali ini melalui calonnya, Hasan Ariffin hanyalah
23,796 undi saja.
Kenapa
pengundi BN tidak turun mengundi sedangkan berduyun-duyun pemimpin
berkampung di Rompin dan melawat rumah ke rumah sambil membawa buah
tangan dan peruntukan?
Tidakkah
ini bermakna ada protes di Rompin? Melihat pelbagai masalah dan
caca-marba dalam pengurusan negara, beban GST, isu Felda, kos hidup,
kenaikan harga barang, hutang negara dan sebagainya, tidak dinafikan
pengundi mengambil sikap protes dengan tidak turun mengundi kerana
mereka belum tergamak untuk mengalih undi kepada Pas.
Mesejnya
ialah pengundi tidak gembira dengan karenah semasa pemimpin, tidak puas
hati kepada parti dan kerajaan tetapi belum sampai ke peringkat beralih
kiblat perjuangan.
Jika
undi protes ini kekal atau makin membesar dalam dua atau tiga tahun
lagi, sudah tentu ia boleh membawa mudarat kepada UMNO dan BN. Itu baru
di Rompin, bagaimana pula di kawasan-kawasan lain?
Hakikatnya
keputusan di Rompin bukan saja memberi impak kepada UMNO dan BN, malah
juga kepada Najib dan bakal penggantinya. Walaupun Muhyiddin mengetuai
jentera kempen kedua-dua kawasan tetapi tugas khusus diberikan kepada
Hishammuddin di Rompin dan Zahid Hamidi di Permatang Pauh.
Jika
di Rompin menang dengan undi lebih besar, bukan saja nama Najib akan
melonjak, bahkan Hishammuddin yang sedang dipersiapkan sebagai pengganti
masa depan juga akan mendapat pujian dan sanjungan sama. Tetapi oleh
kerana majoriti menurun dan jumlah undi juga berkurangan, Najib dilihat
sebagai pemimpin yang gagal dan Hishammuddin pula tidak diyakini
sebagai pengganti.
Di
Permatang Pauh, giliran Najib dan Zahid Hamidi pula cemas menanti. Jika
BN mencapai keputusan lebih buruk, sama seperti di Rompin, ia adalah
petanda kiamat kedua bagi Najib. Ia adalah gambaran yang semakin jelas
penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan ini akan membuatkan Tun
Mahathir lebih agresif memaksanya berundur. Zahid Hamidi juga tidak
mendapat apa-apa markah tambahan daripada keputusan itu.
Tetapi
jika majoriti kemenangan PKR dapat dikurangkan, undi BN bertambah atau
undi Dr Wan Azizah berkurangan, sementara Najib mungkin mendapat sedikit
nafas kelegaan, ia pula akan menyebabkan nama Zahid Hamidi lebih
menonjol berbanding Hishammuddin.
Menonjolnya
nama Zahid Hamidi ini bukan saja merimaskan Najib kerana mengganggu
perancangannya menentukan pengganti Perdana Menteri, bahkan mungkin
menjadi sesuatu yang menyakitkan hati Hishammuddin.
Sehingga keputusan Permatang Pauh diketahui malam esok,
Najib, Zahid Hamidi dan Hishammuddin akan terus berdebar-debar
menantinya. Muhyiddin agak terselamat dalam pertembungan ini, sama ada
BN menang di Rompin atau kalah di Permatang Pauh, namanya mendatar saja
kerana kedudukannya lebih bergantung kepada sejauh mana Najib berjaya
diundurkan oleh Tun Mahathir atau sebaliknya.
Tetapi
berkurangnya majoriti di Rompin dan jika kalah lebih buruk di Permatang
Pauh, ia adalah petanda rahmat makin dekat buat Muhyiddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan