Halaman

Jumaat, 8 Mei 2015

Nur Fitri tidak dibenar sambung pengajian bawah tajaan Mara, kata menteri

OLEH YASMIN RAMLAN

 Tiada rayuan dibenarkan bagi pelajar tajaan Mara yang disabitkan bersalah di London kerana memiliki bahan porno kanak-kanak, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Mei, 2015.Tiada rayuan dibenarkan bagi pelajar tajaan Mara yang disabitkan bersalah di London kerana memiliki bahan porno kanak-kanak, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal. – Gambar fail The Malaysian Insider,.   





























Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menegaskan tiada rayuan dibenarkan bagi Nur Fitri Azmeer Nordin yang disabitkan bersalah memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak oleh mahkamah di London, meneruskan pengajian di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Shafie berkata beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang aktiviti yang berkaitan pornografi.

"Tiada rayuan dibenarkan bagi pelajar ini meneruskan pengajian di bawah tajaan Mara. Kementerian dan Mara tidak akan merayu terhadap hukuman yang dikenakan. Namun terpulang kepada ahli keluarga untuk merayu bagi pelajar tersebut.


"Kementerian dan Mara memandang serius kesalahan tersebut. Semua pelajar tajaan Mara perlu patuh kepada undang-undang yang ditetapkan di mana saja mereka berada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini satu portal melaporkan ahli majlis Mara, Nazir Hussin Akhtar,berkata Nur Fitri, 23, boleh meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara sebagai peluang kedua baginya.

Namun, pendapat peribadinya itu disalah erti oleh orang ramai dan Mara dikecam kerana dikatakan memberi peluang kedua kepada Nur Fitri.

Rabu lalu, Shafie berkata tiada keputusan muktamad mengenai perkara itu.

"Dia (Nazir) boleh kata sedemikian tetapi tiada keputusan muktamad. Tidak ada keputusan yang dibuat lagi.

"Sejurus selepas seseorang itu disabitkan bersalah, serta merta biasiswa tersebut ditamatkan. Itu proses yang kita lakukan," katanya.

Shafie berkata Nur Fitri boleh merayu pembatalan biasiswanya kerana itu hak beliau untuk berbuat demikian.

"Kalau dia hendak merayu, itu terpulang kepadanya. Itu hak dia dan hak keluarganya. Saya tak boleh nak kata apa atau halang kerana itu hak individu tetapi kita tak akan memohon bagi pihaknya," katanya.

Shafie berkata setiap rakyat Malaysia harus mematuhi dan menghormati undang-undang sesebuah negara.

Nur Fitri, pelajar jurusan matematik, dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Southwark Crown di London atas kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah membabitkan kanak-kanak.

Fitri mengaku bersalah terhadap 17 tuduhan memiliki, membuat dan mengedar gambar lucah kanak-kanak, yang disifatkan polis UK sebagai antara yang paling melampau pernah dilihat mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.