Polis akan menyiasat kebocoran dokumen Lembaga Tabung Haji (TH) mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), selepas ia dimuat naik beberapa blog mendedahkan pembelian tanah milik 1Malaysia Devlopment Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.
Khalid berkata pihaknya akan turut memanggil mereka yang terlibat dengan kes itu, termasuk pegawai tinggi TH, susulan laporan polis petang semalam dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Johan Abdullah.
Katanya, polis juga akan menyiasat kandungan laporan polis dibuat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sama ada ia sama dengan laporan dibuat TH atau tidak.
"Jika perlu, kami akan menyiasat kedua-dua laporan," katanya. Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam laporannya berkata pembelian tanah daripada 1MDB itu jika benar amat membimbangkan kerana transaksi yang “meragukan” serta boleh merugikan pendeposit.
Petang semalam, Johan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi terhadap blog The Benchmark, yang mendedahkan dokumen pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX).
Johan semalam menjelaskan, RM188.5 juta yang dibayar untuk hartanah itu adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia dinilai badan penilai bebas profesional.
CEO TH membuat laporan polis selepas berhubung data yang dikatakan tidak tepat disiarkan dalam blog The Benchmark, yang mendakwa kumpulan itu membeli 2 plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada nilai RM722 juta dalam bentuk tunai, tetapi sebenarnya dana penyimpan wang bakal haji itu hanya membeli sebidang tanah pada harga “diskaun” bernilai RM188.5 juta.
Dalam laporan polis itu, Johan berkata pembelian tanah seluas 67,954 kaki persegi itu untuk membina pangsapuri mewah dan menafikan TH dalam proses mendapatkan menara utama seperti didakwa dalam blog tanpa nama itu.
Katanya, pelaburan dibuat mengikut garis panduan relevan dan menerima kelulusan yang sempurna.
Pembangunan pangsapuri itu akan dilaksanakan Tabung Haji Properties Sdn Bhd dan dijangka menjana keuntungan untuk TH pada masa depan.
Blog tanpa nama itu mendakwa TH membeli 2 plot tanah menggunakan wang simpanan pendeposit dan membeli tanah itu pada nilai lebih tinggi daripada apa yang dibayar 1MDB sebelum ini, yang kemudiannya dinafikan TH.
Menurut blog itu, 1MDB Real Estate Bhd memperoleh tanah untuk pembinaan TRX itu pada harga RM64 per kaki persegi daripada kerajaan persekutuan.
Johan juga menyatakan dalam laporannya kebocoran dokumen rahsia tidak membuktikan cadangan itu diluluskan, dan ia melanggar Akta Tabung Haji 1995 dan polisinya.
1MDB mencetuskan kontroversi apabila ia menanggung hutang kira-kira RM42 bilion, dan kerajaan mengakui syarikat dana pelaburan milik Kementerian Kewangan itu berdepan masalah kewangan. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.