MSO
Sejak semalam dan hingga ke sore ini saya sempat pusing di Muazam
Shah, Keratong, Rompin, dan beberapa kawasan untuk meninjau suasana
pilihan raya kecil parlimen Rompin yang akan berakhir esok. Esok adalah
hari mengundi.
Keadaan tidak berapa meriah. Pemasangan bendera dan logistik kempen
sedarhana sahaja. Tidak semeriah dalam pilihan raya kecil di tempat lain
terutamanya di Kedah, Kelantan ataupun Kuala Lumpur. Mungkin suasana di
Rompin juga tidak dapat menandingi suasana di Permatang Pauh yang lebih
mendapat perhatian kerana BN beriya-iya sungguh untuk merampas kerusi
itu.
Rompin mungkin diperkirakan sukar untuk dirampas kerana ia kerusi tradisi Umno.
Kelemahan dan kemuraman paling ketara ialah di
sebelah Pas. Kemelut dalam Pas, yakni pertembungan antara golongan
berasakan mereka ahli syurga dengan bukan ahli syurga menyumbangkan
kepada kesuraman itu. Pilihan raya itu di monopoli oleh golongan ahli
syurga. Boleh juga dianggap pilihan raya kecil Rompin sebagai testing
untuk melihat sejauh mana keupayaan golongan ahli syurga untuk mentadbir
Pas.
Kenyataan ini berdasarkan kepada gambar-gambar poster dan wajah pemimpin
yang dipasang lebih mencerminkan kepada propaganda untuk menghadapi
pemilihan dalam muktamar Jun nanti bukannya untuk menarik perhatian
pengundi. Walaupun gambar itu dipamerkan menerusi risalah ceramah yang
ditampal dipokok-pokok kayu menunjukkan ada maksud hendak menampilkan
orang-orang tertentu.
Hakikat juga terjawab apabila pemimpin Pas yang dianggap bukan ahli
syurga tidak ramai yang mengambil bahagian. Paling jelas kempen itu
dimonopoli oleh pemimpin dari Pahang yang kebetulan pula ramai yang
digolongkan sebagai ahli syurga. Ahli Pas yang tidak tergolong dalam
ahli syurga lebih ramai ke Permatang Pauh.
Situasi ini sesuatu yang dikesali. Apakah mereka berduyun-diuyun ke sana
kerana mereka tidak perlu dan diberi ruang di Rompin? Berlakunya hal
ini kepada siapakah yang boleh dipersalahkan. Mereka ke Permatang Pauh
mungkin setelah tenaga dan peranan mereka di Rompin tidak diperlukan.
Pertembungan itu, perebutan jawatan dalam Pas sehingga melesukan kempen
Pas satu kerugian. Ia tidak sepatutnya berlaku. Sekiranya Pas bersama
Pakatan Rakyat bersatu ia boleh memberi cabaran kepada BN. Keretakan
dalam Pas memberi kecacatan besar. Ia ditokok tambahkan dengan
pergeseran merebut piala dalam Pas yang makin ketara.
Boleh jadi juga penyertaan Pas dalam pilihan raya kecil itu lebih untuk
memenangkan satu puak dan mengenepikan puak lain. Mereka yang tidak
disifatkan sebagai ahli syurga dalam Pas, tidak mengambil bahagian dalam
pilihan raya itu. Majlis-majlis ceramah dianjurkan tidak melibatkan
mereka sebaliknya dimonopoli oleh satu pihak sahaja.
Pertelingkahan ini menjadikan keadaan muram dan sebam. Sudah tentu
situasi ini disukai oleh UBN, kerana merasa berasakan tidak ada
perlawanan langsung. BN juga tidak begitu agresif kerana mereka sudah
pasti akan menang. Apa yang dilakukan menerusi calonnya veteran Hassan
Ariffin ialah mengekalkan undi yang diraih wakil rakyat sebelum ini.
Dalam perhatian saya, UBN sukar untuk mencapai majoriti besar hingga
15,000. Faktor mengurangkan jumlah itu bukan disebabkan Pas dapat
menambah undi tetapi kerana peratus pengundian akan turun. Pilihan raya
kecil Rompin itu tidak begitu menarik perhatian pengundian khas dari
luar untuk pulang. Sikap Pas yang memencilkan sebahagian pimpinan yang
lain ikut sama menjadi penyumbang kenapa ia tidak menarik minat.
Malam tadi saya sempat singgah di dua buah ceramah yang mengundang Exco
Kelantan yang diadakan di Tanjung Gemuk dan Kampung Jawa. Ternyata
ceramah berkenaan "tawar lember" sahaja. Tidak sampai 100 orang yang
hadir. Penceramah itu juga yang selalunya bersemangat nampak lesu tidak
bermaya semacam kehabisan bateri.
Sebelum itu pada sorenya Umno mengadakan majlis pecah tanah di bandar
Stalite yang dihadiri MB Besar Pahang Adnan Yaakob. Dari atas jalan raya
saya nampak yang hadir tidak berapa memberangsangkan tetapi ia ternyata
mengatasi majlis-majlis ceramah Pas.
Kesimpulannya pelung untuk Pas membuat kejutan di Rompin tidak ada sama
sekali. Pergeseran pendapat antara dua parti Pakatan, PKR dan DAP dengan
Pas adalah puncanya. PKR dan DAP tidak banyak membantu di Rompin,
kerana mereka kekok bila mana Pas memainkan isu hudud, di mana isu itu
tidak disenangi pula kedua parti berkenaan.
Bagaimana pun sekiranya pilihan raya kecil Rompin itu dihadapi seperti
pilihan raya umum ke-13 penuh bersemangat dan persefahaman, mungkin ia
boleh menganggu tidur UBN Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan