Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menafikan kedudukannya sebagai menteri bertanggungjawab hal ehwal Parlimen, mencampuri atau mengganggu kuasa dan tugas speaker Dewan Rakyat.
Katanya, pelantikan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan portfolio khusus untuk memantau perjalanan Parlimen, diputuskan perdana menteri.
"Sebagai sebuah institusi penting yang mengawal dan menentukan pertubuhan kerajaan persekutuan, perjalanan Parlimen mendapat perhatian khusus dan berterusan daripada perdana menteri.
"Portfolio menteri tersebut tidak terlibat, tidak campur tangan dan tidak juga mengganggu kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam menjalankan tugasnya," kata Shahidan dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam yang menjelaskan beliau sebelum ini berhasrat meletak jawatan kerana Parlimen Malaysia dilihat seperti “rubber stamp” yang menurut segala keputusan dibuat eksekutif.
Beliau mahukan pembaharuan terhadap Parlimen termasuk pemisahan kuasa yang lebih jelas antara Parlimen dan eksekutif dan supaya Parlimen bertanggungjawab penuh terhadap pentadbirannya sendiri.
Shahidan berkata, isu pemisahan kuasa tidak pernah diutarakan speaker terdahulu sebelum Pandikar dan tidak perlu dibangkitkan kerana ia memang wujud.
"Tiada sebarang gangguan (kepada tugas speaker) dari mana-mana pihak, termasuk saya sendiri.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya hanya membawa usul kerajaan untuk dibahaskan dalam Dewan manakala hal pentadbiran di Parlimen dijalankan ketua pentadbir Parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaliknya, beliau mengatakan, isu sebenar ialah berhubung kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada Sabtu pertama kali mengumumkan peletakan jawatan Pandikar.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan Shahidan dan Pandikar sendiri pada hari yang sama, diikuti Dr Mahathir mendakwa Pandikar memalukannya kerana seolah-olah mengatakan beliau berbohong.
Ia disusuli dengan sidang media Pandikar semalam yang menjelaskan beliau sememangnya pernah menghantar surat peletakan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara tetapi ia tidak diterima perdana menteri yang bersetuju mempertimbangkan saranan pembaharuan Parlimen dibuat Pandikar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan