KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji dijangka memperolehi keuntungan RM5
juta daripada penjualan tanah yang dibelinya daripada 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), dengan harga RM188.5 juta baru-baru ini yang
mencetuskan kontroversi, kata Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul
Rahim.
Beliau berkata TH dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
untuk menjual tanah di Tun Razak Exchange projek (TRX) itu bagi
menghormati ‘sentimen pencarum dan berkata tanah itu akan dijual dalam
beberapa minggu lagi memandangkan beberapa pihak berminat untuk
membelinya.
"Isu ini sudah menular sampai pemandu teksi tanya sama ada TH
'bailout' 1MDB. Jadi, kami nak jaga sensitiviti makcik yang di Baling,
pemandu-pemandu teksi yang menyimpan duit untuk pergi haji," kata
Azeez..
Beliau menafikan pembelian oleh TH itu berupa "bail out" untuk 1MDB,
sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan yang menanggung beban hutang
RM42 bilion ringgit.
Azeez berkata Tabung Haji menjangka pulangan sembilan peratus setahun
daripada transaksi berkenaan namun kini akur kepada keperluan untuk
mengambil kira pandangan pencarum.
"Kami akan cari tanah lain untuk dilabur. Tanah ini bukan susah untuk
dijual. Kami hanya pegang hak milik itu untuk sebulan dan ia masih
boleh menguntungkan kami," katanya sambil menambah lembaga pengarah TH
sedang mempertimbangkan 3 pembeli berpotensi.
Azeez menegaskan wang penyimpan TH langsung tidak disentuh bagi tujuan pembelian tanah dari 1MDB itu.
"Ini macam biasa, kita beli tanah, hartanah. Orang jangan takut, makcik letak seringgit, dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
"Kami masih ada RM5.6 bilion untuk digunakan bagi membeli hartanah.
Kami tak guna wang penyimpan. Arahan pembangunan ada. TH berpengalaman
laksanakan banyak (jualbeli) hartanah seperti ini," katanya.
Beliau mempertahankan keputusan TH membeli tanah itu adalah keputusan
komersial semata-mata dan bukan untuk menyelamatkan mana-mana syarikat.
"Kami pun ada maruah. Kami mempertahankan maruah kami. Kami ada
pengalaman yang luas." kata beliau dan berkata TH sedia bekerjasama
dengan mana-mana pihak berkuasa yang mahu menyiasat transaksi pembelian
tanah 1MDB itu.
"Kami alu-alukan siasatan dalam hal ini. Ia memang satu keputusan komersial yang tulen," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.