THE RAKYAT POST
Menurut Azizuddin,
kumpulan G18 ini boleh memberikan impak kepada corak politik negara
namun ianya bergantung kepada bagaimana parti itu ingin ditubuhkan.
KUALA LUMPUR- Berkemungkinan parti baru yang akan dibentuk oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ‘G18′ lebih mensasarkan kawasan selatan Malaysia, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Mohd Sani.
G18 yang merupakan kumpulan progresif
dari parti PAS dilihat mempunyai kecenderungan untuk menubuhkan satu
parti baru sebagai alternatif kepada PAS dan juga rakan baru buat PKR
dan DAP.
Menurut Azizuddin, kumpulan ini boleh
memberikan impak kepada corak politik negara namun ianya bergantung
kepada bagaimana parti itu ingin ditubuhkan.
“Dia bergantung kepada bagaimana ianya
nak ditubuhkan, jika sekadar nak wujudkan seperti mana PAS berfungsi,
maka ia tidak memberikan kelainan.
“Tetapi, jika mereka menubuhkan parti
yang lebih progresif dan terbuka, ini akan memberikan impak kepada
politik kita. Jadi sukar untuk kita jangkakan, tunggu sehingga parti
baru itu tertubuh,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.
Walau
bagaimanapun, Azizuddin melihat sekiranya benar G18 ini akan menubuhkan
parti, ia tetap memberikan impak memandangkan mereka yang berada di
dalam kumpulan ini merupakan mereka yang sudah sedia ada dikenali
rakyat.
Ini kerana menurut beliau, kebanyakan
dari mereka ini adalah Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) dan sudah mempunyai pengaruh mereka sendiri.
“Impak mungkin lebih kepada mereka yang
berada di bandar dan pinggir bandar. Kalau yang berada di kawasan luar
bandar saya lihat mereka akan kekal kepada PAS sebab mereka ini agak
konservatif.
“Tetapi, G18 ini jika tertubuh mereka
akan banyak kehilangan sokongan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sebab
PAS kuat di negeri-negeri Pantai Timur.
“Jadi mereka akan tarik sokongan bagi
negeri-negeri Selatan dan juga anak muda,” jelasnya lanjut ketika
diminta mengulas berkenaan bacaan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum
ke-14 sekiranya terbentuk Pakatan 2.0.
Menurut laporan The Malaysian Insider, kumpulan G18 mengadakan pertemuan malam semalam yang turut disertai pimpinan PKR dan juga DAP.
Pertemuan tersebut diketahui berlangsung
setelah Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teressa Kok memuat naik gambar ke
dalam akaun Twitternya.
Mohamad Sabu yang berkata kepada The Malaysian Insider, bagaimanapun
enggan mengulas lanjut berhubung perjumpaan tersebut sebaliknya meminta
untuk menunggu sehingga selepasa raya pada pertengahan bulan hadapan.
Pertemuan berkenaan diadakan di kediaman Ahli Parlimen PAS Tumpat, Kamaruddin Jaafar di Kemensah Heights Kuala Lumpur.
PR kini berada di ambang perpecahan
apabila DAP dan PKR telah mengakui gabungan politik tersebut tidak lagi
wujud dan berfungsi secara normal di peringkat nasional.
Keputusan dan pendirian itu diambil oleh
DAP dan PKR ekoran daripada usul PAS untuk memutuskan hubungan bersama
DAP di dalam Muktamar tahunan parti itu yang diluluskan tanpa bahas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.