GOMBAK: Perwakilan Dewan Ulama Pulau Pinang hari ini mempersoal
keikhlasan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang sehingga kini tidak memohon
maaf selepas dikatakan menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Mohd Hanif Harun berkata, selepas hampir sebulan Pilihan Raya Kecil
(PRK) Permatang Pauh berlalu, sayap kanan PKR itu seolah-olah
'melupakan' apa yang terjadi sepanjang tempoh berkempen itu.
"AMK kutuk Hadi tetapi sehingga sekarang mereka tidak lagi menarik
kenyataan dan buat permohonan maaf kepada Presiden. Apakah mereka perlu
berdiam? Sedangkan selama ini kita tidak pernah sentuh batang tubuh
pemimpin mereka.
"Mereka kata buat sidang media, tapi buat (minta maaf) di belakang.
Tak aci, tak boleh begitu. Mereka boleh memalukan orang di khalayak
ramai tetapi minta maaf menyorok belakang orang," katanya ketika berucap
di sesi perbahasan Muktamar Ulama PAS Pusat di Taman Melewar, Gombak,
hari ini.
Untuk rekod, sepanjang kempen PRK Permatang Pauh berlangsung,
PAS-PKR-DAP dilihat saling bertegang-urat dan tuduh-menuduh dalam
beberapa isu yang menimbulkan percanggahan di dalam Pakatan Rakyat.
AMK dengan lantangnya meminta Hadi meninggalkan PAS kerana dilihat
menjadi liabiliti kepada usaha mengukuhkan pakatan pembangkang menerusi
gerak tubuhnya yang 'mesra-Umno'.
Sementara itu, perwakilan PAS Kelantan, Nor Azaria Mohd Alawi menggesa
Ketua Pemuda PAS, Shuhaizan Kaiat menarik balik kenyataan beliau yang
menyamakan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri
Najib Razak.
Berucap di hadapan lebih 600 perwakilan, Nor Azaria berkata kenyataan
Suhaizan ketika ucaptamanya semalam menimbulkan rasa kekecewaan di
kalangan akar umbi Pemuda khususnya kenyataan yang melibatkan Abdul
Hadi.
“Jangan sesekali samakan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dengan Najib Tun Razak.
"Kita menyokong Tok Guru Abdul Hadi kerana firman Allah SWT.
"Kelantan agak terkilan apabila Ketua Pemuda yang menyatakan
sikit-sikit sokong Presiden, saya harap Ketua Pemuda (Suhaizan Kaiat)
perbetulkan balik kenyataanya," tegasnya.
Selain itu, Nor Azaria juga turut mempersoalkan tindakan sekutu
Pakatan Rakyat, DAP yang terus menerus menyerang PAS, khusuusnya
berkaitan isu hudud.
“Dalam melaksanakan Hudud, kita bukan sahaja menghadapi masalah dengan
Umno tetapi kita juga menghadapi masalah dengan rakan Pakatan Rakyat
kita yang dilihat terlalu memandang serong dengan niat ikhlas kita.
"Padahal bukan kita tak penggil mereka (sesi pembentangan)... yang
kita tak faham dia (DAP) sayang kita tapi mengapa mereka terlalu
memandang serong dengan kita,” ujarnya.
DAP juga menuduh Hadi sebagai tidak amanah dan memutuskan hubungan
langsung dengan Ahli Parlimen Marang itu, selepas pemimpin itu bertindak
secara bersendirian menghantar notis pembentangan rang undang-undang
(RUU) persendirian berkenaan hudud ke Dewan Rakyat.
Hadi dalam reaksi balasnya meminta DAP dan PKR agar menghormati hak
demokrasi PAS untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan, yang
menjadi perjuangan mereka sejak sekian lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan