HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Jun 2015

'Baru 3 parti dah berkecamuk'

MALAYSIAKINI




 
 
 
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menyindir Pakatan Rakyat kerana gagal bersepakat walaupun hanya dianggotai tiga parti berbanding BN yang dibentuk sebanyak 13 parti.

Kata Ahli Parlimen Rembau itu, dalam BN mereka tidak berdepan masalah kronik walaupun setiap parti datang dari pelbagai latar berbeza.

“Tiga parti tidak boleh tahan lama dibandingkan dengan 13 parti yang berkepelbagaian dari segi bahasa,kaum, agama tapi kita dapat menjaga BN dengan keutuhan yang jauh lebih baik berbanding Pakatan Rakyat yang ada tiga parti tapi tidak tahan lama,” kata Khairy dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Kata Khairy lagi, dengan pecahan yang melanda Pakatan, rakyat seharusnya boleh menilai BN yang tidak berpecah walaupun berdepan masalah dalaman.

Mengulas lanjut mengenai perpecahan dalam Pakatan, Khairy berkata, DAP, PAS dan PKR seharusnya menyatakan pendirian mereka dan tidak bersembunyi di sebalik kedudukan masing-masing.

Perutusan Anwar

“Adakah (antara mereka) nak bekerjasama dengan PKR, DAP dan PAS. Keadaan yang wujud sekarang menunjukkan tidak wujud lagi Pakatan Rakyat,” katanya.

“Kita nak tahu secara jelas, siapa bekerjasama dengan siapa, siapa yang berpakat dengan siapa dan apakah pendirian bersama mereka berkenaan isu termasuk hudud dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan meneruskan kerjasama di peringkat parlimen dan tiga kerajaan negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dalam satu perutusan dari Penjara Sungai Buloh, Anwar menegaskan kerjasama itu perlu demi membela dan menyelamatkan rakyat daripada terus ditindas oleh kerakusan dan ketidakadilan kerajaan BN.

Beliau juga menzahirkan keyakinan sekiranya sikap politik profesional dipraktikkan, kerjasama antara tiga  parti itu boleh dilakukan walaupun Pakatan tidak wujud lagi.
 
 

Tiada ulasan: