KUALA LUMPUR - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak pihak polis menyiasat urus niaga Felda Global Venture (FGV) yang didakwa membeli saham dari sebuah syarikat ladang di Indonesia pada harga lebih tinggi dari pasaran.
 
Pengerusinya, Mazlan Aliman mendakwa, syarikat multinasional dalam bidang perladangan itu telah membeli saham tersebut pada harga Rp700 (RM0.20) seunit berbanding harga belian di pasaran pada kadar Rp400 (RM0.11).
 
"Tidak sepatutnya dibayar hampir 100 peratus tinggi daripada harga pasaran kerana sebahagian besar tanah masih belum ditanam dengan sawit dan belum menjana apa-apa hasil," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan turut melahirkan kebimbangan apabila urus niaga pada harga yang luar biasa tinggi itu tidak memihak kepada FGV.
 
"Bayaran deposit belian lebih dari 10 peratus. Ini di luar daripada amalan biasa perjanjian jual beli.
 
"Sekiranya pembelian tidak boleh diteruskan, deposit dipulangkan tanpa apa-apa faedah," ujarnya.