THE RAKYAT POST
Mohd Azam berkata,
penundaan dan alasan untuk memberi laluan kepada Presiden PAS
mendahulukan membentangkan RUU tersebut hanya menyerlahkan lagi wajah
sekular disembunyikan UMNO.
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Mohd. Azam Abd Samat berkata, usaha PAS untuk menegakkan undang-undang syariah Islam telah menjadi hasrat sejak penubuhannya dan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS.
Menurutnya, apabila memperolehi kekuasaan
pemerintahan negeri, PAS telah membentang dan meluluskan Enakmen Kanun
Jenayah Syariah (EKJS) di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993
serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) pada tahun 2001 dan
Hudud dan Qisas pada tahun 2002 di Dewan Undangan Negeri Terengganu.
“Demikian itu, usul pembentangan Rang
Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) oleh Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang adalah sebahagian usaha dan
percubaan PAS ke arah tujuan yang sama.
“Ia tidak dapat dibentangkan buat kali
kedua pada Sidang Parlimen baru-baru ini bukanlah satu kegagalan tetapi
kerana tertakluk kepada Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya
seperti yang dipetik dari Harakahdaily.
Mohd
Azam berkata, inilah bukti kesabaran, kesungguhan dan istiqamah PAS
selama ini hingga akhirnya ia disenaraikan dan hanya menunggu masa
gilirannya, RUU tersebut pasti akan dapat dibentangkan.
“Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 telah
memberi isyarat jelas bahawa ahli PAS bersama dan teguh dibelakang Tuan
Guru Presiden PAS termasuk menanti tiba detik RUU ini dibentangkan.
“Golongan yang mendakwa kononnya PAS
ditipu dan masuk perangkap UMNO sebenarnya sengaja membiarkan emosi
mempengaruhi mereka,” katanya.
Beliau berkata, penundaan dan alasan
untuk memberi laluan kepada Presiden PAS mendahulukan membentangkan RUU
tersebut hanya menyerlahkan lagi wajah sekular disembunyikan UMNO
sedangkan melaksanakan perundangan Islam merupakan sebahagian daripada
perintah Allah S.W.T sebagaimana solat, puasa dan haji.
“Saat melihat usaha PAS ini hampir
berjaya di kemuncaknya, mereka cuba menggunakan pelbagai cara untuk
menghalang impian ini direalisasikan.
“Golongan inilah yang menggugat keharmonian permuafakatan Pakatan Rakyat apabila menjadikan EKJS dan RUU sebagai alasan.
“Pihak berkepentingan ini jelas bermotif
menggantikan PAS dalam pakatan baharu dan memaksa PAS meninggalkan dasar
perjuangannya, selain memecahkan kesatuan yang ada dalam parti Islam
ini kerana dengki, dendam dan iri hati mereka,” katanya.
Tambahnya, PAS akan tetap teguh dengan dasar perjuangan Islamnya. PAS tidak pernah menyembunyikan agendanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan