GOMBAK: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman
Razali menjelaskan tindakan dewan itu menamakan senarai nama kepimpinan
baru PAS di laman Facebooknya, bukan untuk mempengaruhi pengundian
perwakilan yang akan membuang undi esok.
Sebaliknya ia sekadar untuk menonjolkan beberapa nama pemimpin PAS yang
berpotensi besar untuk meneruskan aspirasi kepimpinan parti itu.
"Mereka yang boleh meneruskan perjuangan PAS, adalah sesuai untuk
dikedepankan bagi memimpin parti. Itu adalah sebahagian penjelasan kita
kepada ahli-ahli parti, dan bukan untuk mempengaruhi," tegasnya di
sidang media bersama kepimpinan Dewan Ulama PAS, di Muktamar PAS Pusat
kali ke-61 di Taman Melewar, Gombak, tengah hari tadi.
Khairuddin merujuk kepada posting di laman Facebook Dewan Ulama PAS
Pusat pagi tadi yang memberi cadangan nama kepimpinan baharu untuk PAS,
yang rata-ratanya daripada golongan ulama.
Masih mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presidennya,
cadangan itu menyenaraikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan
Timbalan Presiden manakala bagi jawatan Naib Presiden menamakan Idris
Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai
calonnya.
Begitu juga senarai bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, antara nama yang
dicadangkan adalah Nasruddin Hassan Tantawi, Datuk Mohd Khairuddin Aman
Razali, Datuk Nik Zawawi Salleh dan Dr Zuhdi Marzuki.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Nasruddin Hassan
Tantawi turut menyokong pendirian itu dengan menegaskan cadangan
berkenaan juga tidak bermakna menutup hak pihak lain yang turut
bertanding.
"Kita nyatakan bahawa cadangan kepada sesuatu perkara sahaja, bukan
hendak menafikan hak orang lain. Adab dalam semua perkara. Contoh dalam
kempen sabun Breeze pun, mereka tak boleh memburukkan sabun-sabun lain
seperti Fab atau Trojan.
"Kita cadangkan senarai nama bagi pihak Dewan Ulama PAS namun ia terserah kepada perwakilan untuk buat keputusan," katanya.
Pemilihan jawatan tertinggi PAS dijadualkan berlangsung esok di Stadium Tertutup Kuala Selangor.
Sementara pemilihan sayap-sayap kanannya (Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat) berlangsung hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan