HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Jun 2015

FAM perlu nilai semula perlawanan pada Ramadan

THE RAKYAT POST


bola
Wan Ahmad Nizam mencadangkan FAM menilai semula perlawanan sepanjang Ramadan, bagi menghormati bulan puasa, selain majoriti pemain beragama Islam. - Foto arkib Bernama



KUALA TERENGGANU- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji balik sama ada perlu mengadakan perlawanan ketika Ramadan pada musim depan.


Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata, FAM perlu menilai semua perkara itu, bagi menghormati bulan puasa, selain majoriti pemain beragama Islam.

Beliau berpendapat, FAM sepatutnya membatalkan semua perlawanan sepanjang Ramadan ini, bukan hanya membenarkan sesetengah negeri menunda perlawanan.

“Kita telah sepakat untuk menyatakan bantahan kepada FAM, berhubung pelaksanaan perlawanan bola sepak sepanjang bulan puasa dan kita harap pada musim depan FAM dapat satu keputusan yang terbaik.

“Kalau permohonan Kelantan (untuk menunda perlawanan) boleh diterima, mengapa kebenaran menunda perlawanan tidak diberikan kepada semua negeri dan ia perlu dilakukan demi menghormati bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Jelasnya, ketika pemain rancak beraksi di tengah padang pada perlawanan pertama Terengganu menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu lalu, orang ramai masih menunaikan solat tarawih.

Wan Ahmad Nizam berkata, walaupun hanya sunat melakukan solat tarawih, namun sebagai umat Islam, bulan mulia ini harus dihormati.

“Kita harap para pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik, bagi menghabiskan baki perlawanan yang ada sepanjang bulan ini…dan FAM dapat menilai kembali perkara ini,” katanya.

Dalam perlawanan Sabtu lalu, Skuad Penyu tewas 0-1 kepada pasukan pelawat.

Tiada ulasan: