Halaman

Selasa, 2 Jun 2015

Hadi selamat 60% undi, kata penganalisis

MALAYSIAKINI


 


Di atas kertas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kumpulan proulama PAS dilihat selamat dengan sekurang-kurangnya 500 undi daripada keseluruhan 1,195 perwakilan dalam muktamarnya Khamis ini.

Pengamat politik PAS Muhammad Hisommuddin Bakar (bawah, kanan) berkata jumlah sokongan, daripada trend pengundian blok, bagaimanapun boleh mencecah sehingga 700 orang atau 70 peratus.

Pengarah eksekutif pusat kajian bebas Ilham Centre berkata angka itu tergambar daripada perubahan besar akar umbi yang menyaksikan kumpulan tidak pro-status quo berjaya disingkirkan.

Kes paling menarik apabila bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin kecundang di tangan pemimpin kawasan kurang terkenal setelah mengetuai kawasan itu selama 16 tahun.

"Dengan bertukarnya perwakilan baru, komposisi yang memilih pemimpin yang progresif, berdasarkan merit, rasional, kelebihan individu dan kesan kepada pilihan raya umum akan datang juga sudah bertukar.

"Dengan pertukaran ini juga, di atas kertas, kumpulan proulama atau konservatif sudah menang di peringkat lapangan dan kawasan.

“Dan peluang mereka (proulama) cerah, di peringkat jawatankuasa pusat," kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Muhammad Hisomuddin Bakar.

Pembersihan total

Setelah 13 tahun, Hadi dicabar oleh bekas naib presiden dan presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Ahmad Awang.

Timbalannya Mohamad Sabu pula dicabar ulama terkenal parti Islam itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi jawatan naib presiden pula, penyandang Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa bersama-sama empat lagi pemimpin PAS, akan merebut jawatan tersebut.

Mereka ialah Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Iskandar Samad dan Datuk Mahfuz Omar.

Tuan Ibrahim bagaimanapun tidak mempertahankan jawatan itu kerana bertanding jawatan timbalan presiden.

Dihubungi Malaysiakini, Hisomuddin berkata perubahan kepimpinan PAS di peringkat kawasan berlaku di hampir kesemua 192 kawasan PAS di seluruh Malaysia.

Katanya, perubahan itu dilihat dicapai hasil program terancang di peringkat kawasan oleh kumpulan itu sejak berakhirnya muktamar PAS di Batu Pahat tahun lalu.

“Kalau mengikut mengundi mengikut blok, pembersihan secara total akan berlaku.

"Sistem ini efektif untuk menguasai kepimpinan kawasan dan untuk mencapai kemenangan di peringkat pusat," katanya.

Pemilihan jawatankuasa pusat PAS akan berlangsung Khamis ini dalam muktamarnya yang ke-61 di Kuala Selangor.

Keputusan dijadual diumumkan keesokan harinya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.