Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata tidak timbul lagi isu bahawa NGO pendesak Melayu itu memusuhi Kristian memandangkan hubungan beliau dan pertubuhan itu dengan paderi, kini bertambah baik dan mesra.
Menurutnya, hubungan baik dan harmoni dengan paderi Kristian mula terjalin selepas menghadiri majlis perasmian pertubuhan 'Christian For Peace and Harmony in Malaysia (CPHM)' awal bulan ini.
"Bila saya pergi sekali baru-baru ini di Majlis Peace and Harmony Kristian. Saya jumpa ramai dengan paderi-paderi. Dah baik dengan saya sekarang ini. Main whatsapp, bertukar-tukar whatsapp dan sekarang mereka memahami saya.
"Sekarang saya jemput mereka buka puasa. Saya jemput wakil peace and harmony. Mereka datang. Mereka tanya bila kita nak buat rumah terbuka, mereka nak datang. Kami juga akan adakan dialog," katanya.
Tokoh parlimen veteran itu bercakap dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.
Awal bulan ini PERKASA menghadiri majlis perasmian pertubuhan CPHM kerana menjunjung perlembagaan negara. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak .
Mengulas pertemuan itu, Ibrahim berkata beliau disapa oleh paderi Kristian yang menyatakan beliau bukan seorang yang "garang, bengis dan agresif" seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya berhati baik.
"Kalau orang tak jumpa saya, orang kata saya garang, bengis, agresif. Baru ini mereka jumpa kata saya baik, Ibrahim. Betul. Ramai tak tahu saya ada hati yang baik.
"Kami OK, Kami terbuka. Kami amalkan ajaran Islam. Kita bukan nak bergaduh dengan mana-mana pihak pun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan