Demikian persoalan yang dibangkitkan oleh sebuah NGO yang menggelarkan diri sebagai Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) atau National Oversight and Whistleblowers .
Pengasasnya, Rafizi Ramli berkata, siasatan yang dijalankan NOW terhadap syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat dalam transaksi hasil korupsi ini mengesahkan bahawa syarikat ini telah didaftarkan di Kepulauan British Virgin.
"Thrushcross dipercayai dikawal oleh Mara melalui anak syarikat iaitu Mara Inc yang mana salah seorang pengarah utama Thrushcross adalah Datuk Mohammad Lan Allani iaitu pengerusi Mara Inc," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan korupsi pegawai Mara akan disiasat]
Kenyataan Rafizi bersama pengarah NOW, Akmal Nasir ini susulan laporan akhbar Australia, 'The Age' yang melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.
Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.
Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan siasatan terperinci mengenainya dijalankan segera.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan membangkitkan beberapa kecurigaan berkaitan isu Mara termasuk mengapakah syarikat yang terlibat dalam urusniaga berkenaan didaftarkan di Kepulauan British Virgin yang terkenal sebagai destinasi untuk berlindung daripada cukai.
"Selain daripada The Dudley, benarkah Mara melalui Mara Inc juga dikatakan telah mengadakan pembelian tiga lagi hartanah di Australia iaitu 746 Swanston Street, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street?
"Dan jika benar, adakah jumlah urusniaga empat hartanah ini menelan belanja RM244.47 juta dan adakah kesemua urusniaga ini dijalankan pada harga munasabah atau pada harga yang dinaikkan?," soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan