Halaman

Selasa, 23 Jun 2015

Lakukan segera penilaian pasca gempa Sabah

Gempa bumi
 
 
SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu memulakan penilaian pasca-bahaya terhadap bangunan, infrastruktur dan keselamatan tanah di sesebuah lokasi sebelum ia digunakan secara berterusan oleh penduduk.

Ini kerana menurut, Presiden Institusi Jurutera Malaysia, Datuk Ir Lim Chow Hock, penduduk Sabah masih terdedah kepada bahaya selepas dilanda beberapa siri gempa bumi baru-baru ini.

“Antara beberapa bahaya yang perlu diambil kira oleh pihak berkuasa termasuk tanah runtuh. Bahagian bumi meliputi di gunung yang curam atau cerun terdedah kepada ketidakstabilan seperti tanah runtuh.

“Penduduk yang tinggal di kaki gunung pula berhadapan dengan risiko dihempap batu. Rockslides dan jatuhan batuan daripada jisim batuan longgar adalah kejadian semula jadi tidak dapat dielakkan. Dalam suasana semula jadi cerun curam, penduduk yang tinggal di kaki gunung sangat berisiko kerana batu-batu tersebut akan melanggar apa sahaja yang berada di laluannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 5 Jun, satu gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan Ranau dan meragut 18 nyawa.

Sejak kejadian gempa bumi pertama dilaporkan berlaku, pihak berkuasa melaporkan pelbagai siri gempa bumi susulan sehingga 18 Jun lalu.

Pada 11 Jun lalu, pihak berkuasa mengesahkan menerima laporan mengenai runtuhan batu dari kaki Gunung Kinabalu di Kampung Kiau Nuluh, Kota Belud.

Mengulas lanjut, penduduk di kawasan terlibat gempa bumi di Sabah juga berisiko terhadap bahaya yang mampu memusnahkan bangunan, jambatan, rumah dan ladang.

Insiden-insiden susulan gempa bumi ini juga katanya, boleh menyebabkan gangguan ke atas infrastruktur penting seperti kabel elektrik, paip gas, jalan raya, menara kawalan telekomunikasi, bekalan air bersih, dan penjagaan kesihatan orang awam.

“Masih ada bahaya yang perlu dibimbangkan. Serpihan-serpihan gempa bumi yang terkumpul di sungai akan membentuk empangan sementara di sungai-sungai kawasan terlibat.

“Ia merupakan empangan yang tidak stabil dan apabila empangan sementara itu pecah, ia akan membawa kesan yang menakutkan ke atas seluruh lembah yang terlibat. Batu-batuan, dan pokok yang dihanyutkan oleh air deras boleh memecahkan tebing, menyebabkan runtuhan dan boleh memusnahkan kediaman di sekitar lembah serta tebing sungai.

“Penduduk di kawasan terlibat juga akan mengalami pencairan tanah, di mana tanah bertindak seperti pasir jerlus. Kita boleh lihat ia terjadi dengan jelas pada keadaan jalan raya atau sisi jalan,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.