Halaman

Isnin, 22 Jun 2015

Perlu pelan strategik kekang isu bankrap golongan muda – DPMM

THE RAKYAT POST


fahdli
Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan tidak sewajarnya hanya pandai berhutang dan menambah hutang semata-mata, tetapi juga perlu merancang untuk kesejahteraan rakyat.



KUALA LUMPUR-  Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan agar bertanggungjawab dalam merancang pelan strategik secara menyeluruh bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.


Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan tidak sewajarnya hanya pandai berhutang dan menambah hutang semata-mata, tetapi juga perlu merancang untuk kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai isu bankrap yang melanda golongan muda, Ahmad Fadhli berkata seramai 15,925 individu di bawah usia 35 tahun yang diisytiharkan bankrap sepanjang tempoh 2012 hingga Mac lalu adalah satu angka yang besar.

Katanya, masalah berkenaan adalah berpunca daripada kos taraf hidup yang tinggi malah pinjaman kediaman turut merupakan penyumbang terbesar pengisytiharan bankrap.

“Ia membuktikan bahawa masyarakat semakin tidak mampu untuk memiliki barangan keperluan. Berbeza dalam beberapa tahun lepas, pinjaman kenderaan mencatat peratus terbesar berbanding kediaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Susulan perkara itu, beliau mempersoal keseriusan langkah kerajaan dalam membendung kenaikan harga rumah yang melambung naik.

Jelasnya, generasi muda tidak mempunyai pilihan untuk memiliki kediaman selain daripada mendapatkan pinjaman yang terpaksa dibayar secara ansuran.

“Kerajaan sewajarnya mempunyai mekanisma mengawal pasaran harga hartanah di Malaysia kerana ia sememangnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan yang memerintah.

“Namun, seandainya pemimpin terus menagih komisen dan mempunyai kepentingan besar dalam industri hartanah, impian besar rakyat Malaysia hanyalah tinggal angan-angan semata,” katanya.

Perkara itu juga katanya, sama seperti yang berlaku terhadap harga kenderaan yang berada di paras tinggi kini.

Katanya, kegagalan kerajaan menyediakan kemudahan pengangkutan awam berkesan hakikatnya memaksa rakyat Malaysia untuk membuat pinjaman bank bagi mendapatkan kenderaan yang selesa, sekurang-kurangnya bagi tujuan kegunaan ke tempat kerja.

“Kedegilan kerajaan untuk terus mengenakan cukai eksais begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta di antara 85 hingga 110 peratus, serta pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus dengan tujuan mengkayakan kroni, hanya menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Rakyat terpaksa membeli kenderaan dengan harga yang tinggi dan menjejaskan pendapatan boleh guna mereka. Ia ditambah lagi dengan pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri automotif,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.