THE RAKYAT POST
Zabariah (tiga kiri)
menunggu untuk berbuka puasa bersama sebahagian anak-anaknya di bekas
tapak rumahnya di Kampung Manek Urai Lama, Kuala krai. - Foto TRP/Mohd
Zulhairie
KUALA KRAI: Bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai dapat mengurangkan rasa sedih dalam kalangan mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama yang terpaksa menyambut bulan Ramadan di rumah sementara yang disediakan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Zabariah Ibrahim, 64, berkata, tidak
dinafikan bahawa beliau berasa sedih kerana terpaksa menyambut bulan
Ramadan dalam serba kekurangan pada tahun ini.
Katanya, suasana dan persiapan bersahur serta berbuka puasa tidak sama seperti sebelum ini.
“Jika difikirkan memang sedih dengan
nasib yang menimpa saya sekeluarga, namun kesedihan itu sedikit terubat
apabila anak-anak saya yang tinggal di perantauan, balik untuk berbuka
puasa bersama.
“Walaupun berbuka dengan keadaan serba
kekurangan, namun saya gembira kerana dapat menyempurnakan ibadah puasa
hari ini dengan sempurna.
Beliau berkata, dia bernasib baik kerana walaupun rumahnya musnah sama sekali, namun dapur rumahnya masih ada.
Katanya, walaupun keadaan dapur yang tinggal agak uzur, namun ia masih dapat digunakan untuk memasak.
Zabariah yang mempunyai tujuh orang anak itu berkata, dia sekeluarga reda dengan nasib yang menimpa dirinya.
Katanya, dia bersyukur kerana dapat
tinggal di rumah sementara berbanding mangsa banjir di sekitar Gua
Musang yang masih tinggal dalam khemah.
“Kami dikira bernasib baik kerana
menerima rumah sementara walaupun tidak sempurna namun ia sedikit lebih
selesa berbanding khemah,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia yang merupakan salah seorang mangsa
banjir yang masih belum menerima rumah kekal berkata, tanah yang didiami
sebelum ini merupakan tanah rezab kereta api.
Katanya, disebabkan itu, dia tidak layak
menerima rumah kekal, namun beberapa hari lalu dia namanya tersenarai
sebagai penerima rumah kekal daripada kerajaan negeri Selangor.
“Syukur Alhamdulillah, sekurang-kurangnya
nama saya tersenarai dalam orang yang menerima rumah kekal, saya tidak
kisah di mana rumah itu bakal dibina, dan saya sanggup untuk berpindah.
“InsyaAllah, pihak kerajaan berjanji akan menyiapkan rumah berkenaan pada bulan Ogos ini iaitu sebelum Hari Raya Haji,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan