Halaman

Rabu, 24 Jun 2015

Menteri hantar anak ke sekolah antarabangsa berdasarkan kemampuan sendiri

THE RAKYAT POST


wahid_omar_M
Abdul Wahid berkata, Malaysia sentiasa komited dengan pendirian "Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris".



KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Perancangan Ekonomi Kebangsaan, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, terpulang kepada ibu bapa sendiri bagi memutuskan di mana anak-anak mereka harus belajar.


Abdul Wahid berkata, beliau bersetuju bahawa Bahasa Inggeris adalah penting tetapi kemahiran adalah lebih diutamakan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang ditanyakan dalam sesi #TanyaGomen bersama orang ramai mengenai kepentingan Bahasa Inggeris dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Soalan itu turut menyatakan mengenai sesetengah daripada menteri lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa daripada belajar di sekolah kerajaan.

“Secara peribadinya saya sendiri menghantar anak ke sekolah kerajaan. Kita mempunyai sistem pendidikan yang bermutu dengan pengisian yang terbaik untuk anak-anak kita.

“Sesiapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa itu terpulang kepada kemampuan dan keutamaan mereka,” katanya.

Abdul Wahid berkata, Malaysia sentiasa komited dengan pendirian “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris”.

Namun katanya, walaupun sekolah kerajaan antara yang terbaik tetapi masih mempunyai kekurangan daripada elemen ‘kepelbagaian’.

Ketika ditanya mengenai adakah beliau akan menyokong idea untuk memasukkan Bahasa Mandarin sebagai subjek tambahan di sekolah kerajaan memandangkan kepentingan penggunaan bahasa itu di peringkat global amat tinggi, Abdul Wahid menjawab, pembelajaran apa juga bahasa tambahan wajar disokong di sekolah.

“Ia boleh jadi Bahasa Mandarin, Hindi atau Perancis, pembelajaran bahasa tambahan di sekolah adalah idea yang baik dan saya sentiasa menyokong usaha ke arah itu.” katanya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.