THE RAKYAT POST
Tengku Adnan berkata, pihaknya bersama Najib telah berusaha membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi MIC.
KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN),
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta MIC supaya bertenang dan
menyelesaikan kemelut yang timbul secara matang.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas krisis MIC yang akhir-akhir ini bertambah buruk.
“Barangkalilah (mereka degil), itu saya
tak mahu komen. Dia degil tak degil, saya tak tahu. Kita dah nasihat
banyak kali, dah beritahu apa yang perlu dilakukan, tetapi dua-dua pihak
tak nak dengar, apa kita nak buat?
“Tetapi, sebagai Setiausaha BN, saya
nasihatkan mereka tolong fikir secara rasional dan bersatu, kerana
masyarakat India perlukan kalian untuk beri sepenuh sokongan bagi
memastikan MIC dapat memenuhi keperluan di dalam negara ini,” katanya
ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Tambah
beliau, pihaknya bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah
berusaha membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi parti komponen BN
itu.
Sebaliknya, MIC beberapa kali meminta BN tidak masuk campur dalam kemelut tersebut.
“Sejak dari awal, mereka sudah meminta kami untuk tidak terlibat dan kami sudah berikan beberapa penyelesaian.
“Kami sudah pun bercakap dengan mereka,
berikan penyelesaian kepada mereka dan mereka juga tidak menerima
cadangan penyelesaian yang kami beri.
“Jadi, kami serahkan kepada mereka dan
mungkin mereka fikir mereka mampu untuk selesaikan kemelut yang timbul,
maka biarkan mereka selesaikan masalah itu,” jelasnya yang juga
Setiausaha Agung UMNO.
Dalam pada itu, beliau yang lebih mesra
dengan panggilan Ku Nan berkata, BN akan memantau perkembangan parti
komponen India itu dari semasa ke semasa.
Malah, beliau yakin kemelut itu tidak memberi kesan kepada imej BN itu sendiri.
“Saya tak rasa begitu, sebab kami
percaya akhirnya kami akan bersama. Kita tak macam Pakatan Rakyat, sebab
ikatan mereka longgar.
“Dalam kes kami, kami mempunyai ikatan yang kukuh. Saya tak risau,” katanya.
MIC berdepan kemelut, apabila pucuk pimpinannya dilihat tidak senada dalam mentadbir parti itu.
Kemelut kian memuncak apabila Presiden
MIC, Datuk Seri G. Palanivel menggantung keahlian beberapa ahlinya,
termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Naib
Presidennya, Datuk M. Saravanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.