HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Jun 2015

PAS gesa Najib, Annuar bercuti sementara Mara disiasat

THE MALAYSIAN INSIDER


Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa untuk bercuti adalah wajar supaya tiada 'gangguan' semasa siasatan dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Jun, 2015.Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa untuk bercuti adalah wajar supaya tiada 'gangguan' semasa siasatan dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insider.


PAS hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa untuk bercuti sehingga siasatan mengenai pembelian hartanah kontroversi di Australia selesai.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah tersebut adalah wajar supaya tiada "gangguan" semasa siasatan dilakukan.

"Memandangkan Najib sendiri yang mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan telus terhadap kes ini, maka wajarlah Najib mengambil langkah pertama untuk bercuti, begitu juga dengan Annuar sehingga siasatan selesai.


"Cuti ini pun wajar untuk memastikan persepsi ‘tiada gangguan’ terhadap kerja Jabatan Audit Negara dalam menyiapkan laporan 1MDB kepada Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dijangka siap pada akhir bulan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendedahan Annuar mengenai pembelian hartanah kontroversi di Australia itu sebenarnya diluluskan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan perdana menteri kurang 24 jam selepas Najib sendiri mengumumkan arahan siasatan terhadap dakwaan itu dijalankan adalah sangat memalukan.

Katanya, ia juga petanda pemimpin Umno sudah mula keberatan untuk menanggung tugas menjawab keputusan perniagaan yang kontroversi melibatkan perdana menteri.

"Banyak keputusan perniagaan berkontroversi seperti 1MDB, penyenaraian FGV, GST, pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji dan kini Mara berlaku di bawah kepimpinan Najib.

"Cap jari Najib dapat dikesan di sebalik semua keputusan ini meskipun media kerajaan cuba memisahkan Najib daripada semua keputusan kontroversi ini.

"Realitinya, hampir semua lubuk duit kerajaan dan syarikat milik kerajaan sudah disentuh untuk tujuan yang mencurigakan dan tidak memanfaatkan negara.

"Dengan nilai ringgit lemah, dan hutang 1MDB yang masih perlu dibayar, jangan hairan kalau selepas ini semua syarikat konsesi tol pula membeli tanah daripada 1MDB atas alasan pelaburan syarikat konsesi," katanya.

Semalam, akhbar The Age Australia mendedahkan Mara membeli satu hartanah dikenali sebagai The Dudley pada harga RM65.2 juta walaupun harga sebenarnya hanya RM51.5 juta.

Lebihan pembayaran itu didakwa disalurkan kepada seorang pegawai atasan Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik.

Pemaju di Australia pula didakwa mengeluarkan invois palsu dengan butiran "perkhidmatan jururunding dan nasihat" daripada firma Malaysia.

Tiada ulasan: