THE RAKYAT POST
Tuan Ibrahim meminta
semua menampilkan konsep Rahmat Untuk Semua melalui istiqamah dengan
Islam, konsep amal lillah iaitu beramal kerana Allah, serta keikhlasan
dalam perjuangan. - Foto fail TRP/Azrol Ali
KUALA LUMPUR - PAS perlu mencabar dirinya untuk menguasai dan mendahului dalam isu-isu yang melibatkan rasuah, ekonomi, kesusahan dan penindasan terhadap rakyat dan salah guna wang rakyat dan memberi solusi dari kaca mata Islam.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man berkata segala tuduhan-tuduhan perlu dipatahkan dan persepsi
pada PAS perlu diperbetulkan melalui gerak kerja, akhlak dan
perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut beliau, semua pihak perlu membiarkan kerja yang telah dilakukan itu untuk menjadi jurucakap kepada PAS.
“Tampilkan konsep Rahmat Untuk Semua
melalui istiqamah kita dengan Islam, konsep amal lillah iaitu beramal
kerana Allah, serta keikhlasan dalam perjuangan.
“Janganlah dihabiskan masa dalam perkara
yang tidak berfaedah dan menambahkan polemik di kalangan ahli,” katanya
menerusi lama Facebooknya di sini hari ini.
Tambah
Tuan Ibrahim, sejak selesainya muktamar, ahli PAS terus berhadapan
dengan pelbagai kemelut negara, masalah dengan rakan Pakatan Rakyat dan
juga masalah dalaman parti.
Jelas beliau, ia adalah asam garam
perjuangan yang membawa semua pihak kepada suasana sentiasa sibuk bagi
memikirkan dan mencari jalan untuk mengukuhkan jamaah dan meneruskan
perjuangan Islam.
Tegas beliau, apa yang mudah untuk
dilakukan ialah berputus asa dan yang susah ialah meneruskan perjuangan
walau apa yang berlaku.
“Kepada yang menerima taklif jawatan
dalam parti, marilah kita tingkatkan gerak kerja jamaah, memperkukuhkan
komitmen dan istiqamah kita.
“Kentalkan hati untuk menghadapi cemuhan
dan cabaran bagi menyeru ummah kepada keindahan Islam dan dalam masa
yang sama mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS.
Biarlah kita tegas dalam perkara prinsip dan anjal dalam pelaksanaan serta eratkan ukhuwah di kalangan anggota parti,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.