MALAYSIAKINI
"Penang, Penang, Penang" kedengaran biasa, kan?
Ia bukanlah teriakan konduktor bas memanggil para penumpang seperti yang
lazim didengar, tetapi sebenarnya cara pegawai penguat kuasa meniru
tekong darat memanggil pelarian Rohingya yang bersembunyi di beberapa
jalan tikus.
Seorang pesara Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang hanya ingin
dikenali sebagai Pak Lan, berkata panggilan itu sangat popular pada
tahun-tahun 1996 hingga 2003, tatkala itu pasti ada tangkapan dibuat
semasa unit itu mengadakan operasi.
"Sekurang-kurangnya dua atau tiga pelarian Rohingya dan pendatang
Bangladesh ditangkap semasa operasi dan kadang-kadang mencapai 20 hingga
30 orang, menerusi panggilan itu yang disangka mereka daripada tekong
darat itu," katanya kepada Bernama di Kangar.
Ditanya mengapa perkataan 'Penang' menjadi pilihan, Pak Lan yang pernah
mengetuai beberapa pasukan operasi, berkata siasatan mendapati perkataan
itu sahajalah yang diketahui pelarian dan pendatang.
"Kami mendapat tahu tentang bahasa isyarat itu secara kebetulan pada
1996 semasa meronda di sempadan di Kurung Tengar, Kuala Perlis yang
mempunyai banyak laluan tikus popular untuk mereka menyeludup masuk.
"Pada malam itu tekong darat memanggil mereka (pelarian dan pendatang)
keluar tetapi terhenti dan melarikan diri sebaik sahaja ternampak kami.
Kami terus menggunakan kaedah itu untuk memanggil keluar pendatang
haram," katanya.
Kurung Tengar terletak kurang dua kilometer dari pekan Kuala Perlis dan
kini diletakkan di bawah pengawasan Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM) dan dibangunkan sebagai bandar Universiti Malaysia
Perlis (UniMAP).
Pak Lan berkata berdasarkan pemerhatian, beliau dan pasukannya percaya
sindiket terbabit menggunakan Perlis sebagai tempat persinggahan
kegiatan pemerdagangan manusia ke Pulau Pinang, sekali gus membawa
kepada penggunaan 'Penang' sebagai isyarat.
"Sebenarnya, kami pernah dengar beberapa pelarian Rohingya yang ditahan
semasa operasi menyebut terdapat pelarian Rohingya dan pendatang
Bangladesh yang mendarat secara terus di Pulau Pinang dengan menaiki
bot.
"Keadaan ini tidak menghairankan kerana Pulau Pinang mempunyai campuran
budaya India Muslim dan pembangunan industri yang pesat serta aktif
menggaji pekerja asing pada masa itu. Ia menjadi pilihan yang tepat
untuk dijadikan pusat kegiatan pemerdagangan manusia kerana mereka
dengan mudah dapat bercampur dengan penduduk tempatan," katanya.
Ditanya tentang kawasan yang biasa menjadi tempat operasi UPP di Perlis,
Pak Lan berkata agensi itu memberi tumpuan kepada Kampung Syed Omar dan
Bukit Bintang yang bersempadan dengan Kampung Puju, Thailand selepas
aktiviti di Kurung Tegar berkurangan.
"Kami akan letak beberapa kereta dan mula memanggil dengan menggunakan
isyarat itu, meniru cara tekong darat. Biasanya ia dilakukan selepas
tengah malam," katanya.
Pak Lan berkata pelarian dan pendatang biasanya ditinggalkan di kaki
bukit oleh tekong darat dari Thailand dan dipaksa berjalan kaki memanjat
bukit sebelum dijemput oleh ejen dari Malaysia yang membawa mereka ke
Pulau Pinang melalui jalan kampung bagi mengelak sekatan jalan raya oleh
pihak berkuasa.
Perbualan dengan seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas turut mengesahkan maklumat itu.
"Para penyeludup biasanya bergerak menggunakan bot dari Kawthoung,
Myanmar melalui Laut Andaman melepasi Pulau Panjang berhampiran Langkawi
dan Kampung Puju, Thailand dan menurunkan pelarian serta pendatang
terbabit di Kaki Bukit dan beberapa laluan tikus di Kangar.
"Mereka kemudiannya dibawa ke Pulau Pinang oleh tekong darat tempatan," jelasnya.
Difahamkan kawasan Perai, dua kawasan di Machang Bubok di Seberang Perai
Tengah dan Mak Mandin di Seberang Perai Utara menjadi lokasi penempatan
mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Satu sumber memberitahu Bernama bahawa polis di Pulau Pinang bekerjasama
dengan Bukit Aman bagi menjalankan operasi bersama yang membawa kepada
kejayaan memperoleh maklumat mengenai kegiatan pemerdagangan manusia di
Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, sehingga Isnin lepas, 35 mayat dipercayai
mangsa pemerdagangan manusia telah dikeluarkan dari kubur di Bukit Wang
Burma, Wang Kelian, Perlis.
Mayat dan rangka itu dikeluarkan dari 139 kubur yang ditemui pihak
berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan
manusia sepanjang sempadan Perlis-Thailand.
Bedah siasat ke atas mayat terbabit akan dilakukan pada 7 Jun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Sementara itu operasi fasa kedua mengeluarkan mayat di kem transit di
Hutan Simpan Mata Air, Lubuk Sireh bermula hari ini, kata Ketua Polis
Perlis SAC Shafie Ismail pada hari Isnin.
Shafie berkata sebanyak 91 kubur dikenal pasti di kawasan terbabit dan
polis Malaysia telah mendapat kebenaran pihak berkuasa Thailand
menggunakan laluan di negara itu untuk memasuki lokasi.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan