PKR menyambut baik ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu kekal bersama Pakatan Rakyat walaupun Dewan Ulamanya semalam mahu berputus arang berkerat rotan dengan DAP.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata usul mahu berpecah itu cuma datang daripada satu dewan dalam PAS.
"Kena hormat pandangan dan usul yang dibentangkan. Akhirnya, ucapan dasar presiden sebagai ketua parti yang akan mencorak masa depan dan hala tuju parti.
"Ini harus dilihat positif oleh semua pihak," katanya lagi mengulas usul kontroversi dalam muktamar Dewan Ulama di Gombak semalam.
Semalam Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP tetapi kekal bekerjasama dengan PKR dalam Pakatan.
Usul tergempar oleh ahli jawatankuasa Dewan Ulama Mokhtar Senik itu akan dibahaskan pada muktamar tahunan PAS bermula hari ini di Kuala Selangor.
Hadi dalam ucapan dasarnya pagi tadi berkata mereka akan kekal dalam Pakatan selagi dasar dan prinsip perjuangan tidak tergadai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan