KOTA KINABALU-  Proses memulangkan semula yuran kepada sekurang-kurangnya 7,500 pendaki tidak sepatutnya mengambil masa yang lama kerana telah menggunakan sistem komputer.


Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Ejen Pelancongan Sabah (SATTA) Datuk Seri Winston Liaw berkata pembekal perkhidmatan yang bertanggungjawab memulangkan wang kepada ejen yang kemudian akan menyerahkan wang itu kepada pelanggan mereka, agak perlahan dalam melakukan proses berkenaan.

Beliau menggesa pembekal perkhidmatan untuk mempercepatkan proses pemulangan wang itu dan berkata ia sepatutnya boleh diselesaikan dalam masa seminggu, atau selewat-lewatnya 10 hari kerana menurutnya: “Semuanya menggunakan sistem komputer sekarang.”

Ketika bercakap dengan media hari ini, beliau berkata pemulangan wang itu adalah untuk pendaki yang dijadual mendaki Gunung Kinabalu antara 5 Jun dan 31 Ogos.

Beliau turut berkata, pendaki yang membayar yuran terdiri daripada pendaki tempatan dan luar negara tetapi kebanyakan mereka adalah pendaki tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata SATTA juga sedang mengumpul dana untuk membantu Persatuan Malim Gunung Taman Kinabalu dan menambah hingga hari ini mereka berjaya mengumpul RM6,000 dan berharap dapat mencapai RM10,000 menjelang 10 Julai.

Beliau meminta orang ramai atau mereka yang berada di dalam industri pelancongan untuk menderma dengan menghubungi pejabat SATTA (dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari) atau menelefon 088-230322 (Jesse) atau terus kepadanya di 010-844888.

Semua sumbangan akan diserahkan kepada penerima pada 11 Julai dan menambah kehidupan malim gunung ini terjejas selepas gunung ditutup sehingga 31 Ogos.