Oleh Rama Ramanathan
Orang ramai tahu yang Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memang tidak tahu malu. SPR memasukkan Malaysia ke dalam rekod kebodohan. Kitalah satu-satunya negara yang merasakan dakwat kekal adalah tidak kekal. Sehingga hari ini, SPR tidak mempertanggungjawabkan sesiapa ke atas kegagalan itu.
Suruhanjaya Pilihanraya negara lain bersungguh-sungguh untuk menjalankan pilihanraya yang bersih. Mereka berusaha untuk memastikan adanya kerajaan sementara, akses media sama rata kepada semua parti, denda kepada calon yang menggunakan jentera kerajaan untuk parti, pembaziran dan sebagainya.
Di
sini, SPR kita nampaknya seperti berpakat dengan parti pemerintah
untuk mengekalkan kuasa mereka. Lebih buruk, ramai juga yang merasakan
SPR tidak menghormati perlembagaan dan kehakiman.
Kes
terbaru adalah persempadanan semula di Sarawak. Selepas menangguh
terlalu lama, SPR akhirnya patuh kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak:
ia akan mewujudkan 11 DUN baru menjelang Pilihanraya Negeri yang perlu
diadakan paling lewat tahun depan.
SPR
terus menjadi buta dan pekak terhadap bantahan orang ramai, yang
melalui Bersih 2.0 telah memobilisasikan rakyat bagi mengembalikan
demokrasi. Rakyat telah bersuara dan bertindak. Mereka berkata
“cukuplah dengan demokrasi yang berpura-pura, baiki keseluruhan proses
pilihanraya, daripada pendaftaran pengundi kepada sempadan kawasan dan
pengiraan undi”.
SPR masih buta dan
pekak, dan walaupun telah dinasihatkan oleh Persatuan Hak Asasi Manusia
(Proham) yang dilantik Yang di-Pertuan Agong untuk berkhidmat dalam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Rakyat
– melalui kumpulan seperti Bersih 2.0 dan Tindak Malaysia –
menggunakan Google Maps dan teknologi lain bagi memantau persempadanan
yang dijalankan SPR.
Mereka turut menyertakan pakar pilihanraya dan
perundangan. Mereka mendidik rakyat tentang apa yang digariskan
Perlembagaan, dan bagaimana SPR mencipta undang-undang baru. Mereka
membongkarkan kesalahan yang lama disembunyikan SPR.
SPR
masih lagi buta dan pekak. SPR dan kerajaan berkata, “seorang satu
undi tidak terpakai di Malaysia”. SPR terus membuat persempadanan
semula di Sarawak.
Rakyat bangkit
sekali lagi. Sekumpulan lebih 100 orang menggunakan hak mereka untuk
membantah kebodohan yang SPR sifatkan sebagai “hal biasa”. Mereka
memetik Perlembagaan dan mendesak SPR patuh. Mereka membangkitkan
pelbagai persoalan kepada SPR.
SPR
mencipta undang-undang baru: pendengaran tertutup, tiada peguam kecuali
yang turut tinggal di kawasan parlimen yang terlibat serta waktu
pembentangan yang singkat. Rakyat memberi respon. Mereka memberi
taklimat kepada media setiap kali selepas bertemu dengan SPR. Mereka
menyuarakan bantahan di internet.
Hal
lain pula berlaku. Sebelum SPR memulakan pendengaran tertutup dan
tergesa-gesanya, naib pengerusi PKR Sarawak See Chee How dan pengundi
Ulu Baram Paul Baya mencabar SPR di mahkamah. Mereka mengemukakan bukti
bahawa SPR menghina Perlembagaan. Mereka meminta mahkamah
mengisytiharkan persempadanan semula SPR sebagai tidak sah.
Mereka
mendakwa SPR telah melakukan beberapa kesalahan, dan hujah SPR bahawa
“itu memang cara biasa” adalah bodoh. Memperlekehkan Perlembagaan
bertahun lamanya tidak bermakna tindakan itu betul! Berikut adalah
beberapa kesalahan yang mereka dakwa dilakukan SPR:
- SPR menerbitkan notis di akhbar yang tidak disebarkan secara meluas.
- Tidak memberikan maklumat yang cukup kepada pengundi untuk mereka menentukan kesan perubahan dan memutuskan untuk setuju atau tidak.
- SPR mencadangkan perubahan kawasan parlimen sebelum ia diluluskan Dewan Rakyat.
- Dokumen yang dipamerkan SPR di bagi orang ramai menilai “cadangan” berbeza dengan dokumen yang disiarkan di akhbar.
- Maklumat itu jauh lebih kurang berbanding apa yang dipamerkan SPR sepuluh tahun lalu.
Dakwaan-dakwaan
ini disokong dengan bukti kukuh, dan merupakan satu lagi siri dakwaan
yang dibangkitkan Bersih 2.0 dan lain-lain terhadap SPR.
Namun
begitu SPR memilih untuk mengabaikan proses kehakiman kerana seperti
isu dakwa kekal, “SPR lebih mengetahui”. SPR meneruskan sesi
pendengaran, bukannya menangguhkannya bagi menunggu keputusan mahkamah.
SPR bukan sahaja meneruskan pusingan pertama rundingan “awam” itu, ia juga membuat pusingan kedua!
Keputusan
mahkamah sudah tiba. Mahkamah mengisytiharkan SPR bersalah. Adakah SPR
akan terus memperlekehkan kehakiman? Atau mengakui kesalahan mereka?
Tentu sekali tidak.
SPR telah membuat rayuan. Selepas termasuk dalam rekod kebodohan, mereka nampaknya mahu memasuki rekod penghinaan pula.
Rama
Ramanathan adalah seorang jurutera dan pernah menjadi Pemimpin Kualiti
(Asia Pacifik) di dua buah syarikat multinasional AS sepanjang dua
dekad lalu. Penat mengembara, beliau kini tinggal di KL dan menumpukan
perhatian untuk menjadi jiran dan warga yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.