Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Jenayah Siber dan Siasatan Multimedia) SAC Mohd Kamaruddin Md Din berkata, walaupun polis mempunyai maklumat mengenai individu yang disyaki mengendalikan laman sesawang itu, namun kes sukar dibuktikan.
"Kita perlu letakkan individu itu di tempat dan masa tindakan dibuat. Kemudian baru kita dapat maklumat yang pengendali laman sesawang sahaja boleh buktikan. Mereka tidak pernah bekerjasama," kata Kamaruddin kepada The Malaysian Insider.
Ditanya mengenai keadaan Harith yang menemui gambar dirinya dan anaknya disiarkan bersama gambar lucah lain di laman sesawang tempatan, Kamaruddin berkata satu kemungkinan adalah kerana gambar itu dikongsi melalui media sosial.
Dalam kes tertentu katanya, kes buli siber juga mungkin terlibat.
Harith hari ini membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail terhadap gambarnya memegang bayi terpapar di laman sesawang berserta gambar lucah lain.
"Dalam kes ini (Harith), walaupun laman sesawang lucah berbahasa Melayu, pemegang domain dan pengendalinya kemungkinan besar dilakukan di luar negara," kata Kamaruddin.
Malangnya, kes kecurian gambar peribadi dan tidak mendapat kebenaran bukannya unik.
"Pernah ada kes di mana pengadu yang juga pemilik gambar dipaparkan di laman sesawang lucah. Tiada yang terdedah...tetapi dalang menghantar pengendali laman gambar, butir peribadi dan nombor telefonnya.
"Ia kerana perbalahan di pejabat antara pengadu dengan dalang," katanya.
Katanya, kes melibatkan laman lucah, polis akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman sesawang sedemikian jika siasatan menemui jalan buntu.
"Kita ada banyak undang-undang untuk menangkap suspek tetapi untuk mendapatkan bukti kukuh adalah sukar," katanya.
Katanya, antara undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa dalang yang terlibat adalah Akta Kanak-Kanak, peruntukan bawak Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah dan mengugut, Akta Penapisan dan Akta Hak Cipta (untuk video) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan