KUALA LUMPURKeadaan jerebu di Lembah Klang berpunca daripada pencemaran seperti asap kenderaan dan industri perkilangan yang diburukkan lagi dengan keadaan cuaca kering.


Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, keadaan cuaca kering disebabkan monsun barat daya yang bermula akhir Mei lalu hingga September ini.

“Dalam tempoh ini tahun ini, atmosfera adalah sangat stabil dan mendatar serta pergerakan udara menegak dikurangkan.

“Jisim udara tidak membantu penghasilan awan aktif, sebab itu cuaca menjadi kering,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Jelasnya, partikel halus dalam udara yang berpunca daripada pencemaran kekal dalam udara, kerana kekurangan angin dan hujan.

Dengan kadar kepekatan yang tinggi, katanya, partikel berkenaan akan bertebaran dan menyerap cahaya matahari, menjadikan keadaan atmosfera suram.

Bagaimanapun, Che Gayah berkata, Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih berada di paras sihat dan keadaan udara tidak menggambarkan kualiti sebenar udara.

Walaupun ia tidak berbahaya kepada manusia, namun pendedahan berterusan kepada kepekatan zarah yang tinggi dalam udara boleh memberi kesan kepada tahap kesihatan.

“Hujan akan memberi perubahan yang baik, namun dalam keadaan monsun ini, penurunan hujan dijangka sedikit.
“Tetapi, hujan yang sedikit dalam jangka pendek tidak membantu pembersihan atmosfera dalam keadaan jerebu teruk,” katanya.

Jerebu menjadi masalah saban tahun yang melanda negara, ekoran pembersihan hutan dan ladang di Sumatera, Indonesia dengan pembakaran dilakukan untuk penanaman semula kelapa sawit.