Oleh Mohd Tawfik Yaakub
Hari ini diberitakan kerajaan Selangor menyediakan perkhidmatan bas secara percuma dan hari ini juga hampir seluruh rakyat Malaysia diyakini mengeluh akibat kenaikan harga petrol di pasaran.
Kenaikan harga petrol bukan sahaja membebankan pengguna kenderaan, malah bakal menaikkan harga barang kegunaan harian.
Meskipun kerajaan memperuntukkan subsidi kepada bahan bakar enjin kenderaan, meningkatkan kecekapan dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam percuma tetapi kemudahan tersebut masih belum dinikmati sepenuhnya oleh warganegara.
Namun apa yang mengecewakan ialah apabila perkhidmatan bas dan komuter dipenuhi kebanyakan warga asing seperti Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya warga asing tersebut menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi caj tiket yang dikenakan kepada mereka sama seperti yang dikenakan kepada rakyat di negara ini.
Malah jika kita berkesempatan pada hari minggu, kita boleh melihat betapa gembiranya warga asing di negara ini menikmati kemudahan yang sama seperti penumpang warga negara tanpa perbezaan caj harga tiket.
Seharusnya caj perkhidmatan pengangkutan awam kepada warga asing dibezakan dengan warganegara kerana tujuan utama kemudahan ini disediakan ialah untuk memberi keselesaan dan mengurangkan kesesakan untuk warganegara.
Meskipun tidak dapat dinafikan kehadiran pelancong asing memberi sumbangan kepada pendapatan negara, namun perbezaan harga perkhidmatan tidak akan menggugat kehadiran mereka sekiranya negara kita memiliki daya keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.
Perbezaan caj perkhidmatan pengangkutan awam kepada warga asing sewajarnya dilaksanakan segera dan diperluaskan kepada perkhidmatan-perkhidmatan lain di negara ini.
Pendekatan ini bukan sahaja menambahkan pendapatan negara tetapi pada waktu yang sama dapat mengelakkan rakyat menanggung derita akibat kenaikan harga petrol secara tiba-tiba.
* Penulis ialah penganalisis politik dan calon Ijazah Doktor Falsafah Universiti Malaya B.A & M.A Sains Politik (UKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan