KUALA LUMPUR: “kita tidak akan biarkan mereka terlepas begitu sahaja,”
Itulah janji Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung
tindakan yang akan diambil pihaknya terhadap peserta Bersih 4.0 yang
melakukan perbuatan menyalahi undang-undang sepanjang perhimpunan haram
itu pada Sabtu dan Ahad lalu.
Tegasnya, polis menubuhkan pasukan khas bagi meneliti rakaman video dan
gambar yang diambil sepanjang perhimpunan tersebut dalam mengenal pasti
individu yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.
“Kita ada rekod pergerakan peserta pada perhimpunan itu. selepas
penelitian dibuat, mereka yang dikenal pasti melanggar undang-undang
akan dipanggil. Tindakan akan diambil kerana kesalahan sudah dilakukan.
Kita tidak akan biarkan mereka terlepas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan
Pameran berkaitan Teknologi Keselamatan (IFSEC) Asia Tenggara di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Semalam, polis memanggil penganjur Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah untuk diambil kenyataan berhubung perhimpunan haram itu.
Turut diambil kenyataan ialah enam lagi aktivis propembangkang yang
juga terlibat dalam penganjuran perhimpunan berkenaan iaitu Timbalan
Pengerusi Bersih 4.0, Sarajon Huda Abdul Hassan; Bendahari, Masjaliza
Hamzah; Ahli Jawatankuasa, Farhana Halim dan Fadiah Nadwa; Ahli
Sekretariat, Mandeep Singh serta aktivis pelajar, Adam Adli.
Semasa ditemu bual, Maria enggan mendedahkan kepada polis mengenai
akaun derma bernilai RM2.4 juta yang diperoleh pihaknya untuk
menganjurkan perhimpunan tersebut dan menyatakan bersedia ke mahkamah
sekiranya didakwa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya akan tetap menghormati
status negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad meskipun bekas Perdana Menteri
itu kini sedang disiasat berhubung pembabitannya dalam Bersih 4.0.
Menurutnya, pihak polis juga akan tetap menjalankan tanggungjawab
menyiasat perkara itu berikutan laporan polis terhadap Dr. Mahathir
telah dibuat oleh pihak lain.
“Kita perlu merakam percakapan Dr. Mahathir kerana kita menerima
laporan polis. Laporan itu dibuat oleh seorang ketua bahagian UMNO.
“Apabila proses-proses itu dilakukan, sudah tentu kita akan menjaga
seorang negarawan dengan sebaik-baiknya, tetapi adalah menjadi
tanggungjawab polis untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, siasatan terhadap Dr. Mahathir kini dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, beliau sendiri akan memaklumkan perkara itu kepada Dr.
Mahathir, namun tetap yakin bekas pemimpin itu maklum berhubung siasatan
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.