Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disahkan tidak
akan terlibat secara langsung dengan Persidangan Antirasuah Antarabangsa
(IACC) yang akan bermula esok hingga Jumaat.
Mengesahkan perkara tersebut, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, Najib
tidak akan hadir ke persidangan yang bertempat di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC).
"Beliau (Najib) tidak akan hadir sebagai panel dan tidak akan beri
ucapan pada persidangan esok," katanya kepada pemberita dalam sidang
media di sini, hari ini.
Mustafar dalam pada itu turut mengesahkan Menteri di Jabatan Menteri,
Datuk Paul Low Seng Kuan akan merasmikan persidangan IACC esok.
"Perasmian akan dilakukan oleh Paul Low dan bukan Najib. Selain
merasmikan persidangan esok, beliau juga akan memberikan ucapan sebagai
salah satu panel pada bengkel yang akan berlangsung dalam persidangan
ini," katanya lagi.
Persidangan IACC merupakan persidangan peringkat antarabangsa yang
digariskan khusus untuk menentang dan memerangi rasuah di setiap negara
yang terlibat.
Lebih 130 negara dikatakan menghantar wakil masing-masing untuk
berkongsi ilmu dan maklumat untuk dijadikan panduan dalam membasmi
gejala rasuah di negara yang terlibat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.