Rara
KOTA BHARU – Aktivis DAP, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara Othman menggesa anak-anak muda negara melakukan satu perubahan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara kini.
Menurutnya, walaupun sudah 58 tahun Malaysia merdeka, namun amat mengecewakan apabila pentadbiran negara semakin teruk, perjalanan ekonomi semakin meleset, mata wang jatuh, anak muda semakin ramai yang menganggur dan harga rumah semakin mahal.
“Ini yang sedang berlaku dalam negara ini, kalau kita biarkan lagi, tidak ambil tahu dan abaikan apa yang sedang berlaku, amat malanglah. Saya tahu anak muda kini sudah mula mengambil tahu, orang muda sudah tidak boleh duduk diam lagi, ini masanya untuk kita lakukan satu perubahan, kalau bukan kita, siapa lagi. Saudara Mat Sabu sudah berjuang sekian lama bersama pimpinan lain, ini masanya anak muda tunjukkan yang kita juga berjuang untuk negara kita kini,” katanya.
Beliau menyampaikan ucapan di ceramah sulung Parti Pekerja Malaysia di Pasir Tumboh yang turut dihadiri Pengerusinya, Mohamad Sabu, Timbalan Pengerusi, Salahuddin Ayub, bekas Menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim dan barisan pemimpin utama parti baru itu, malam tadi.
Menurutnya, masalah dan kepincangan yang wujud dalam parti pemerintah kini amat menjengkelkan dan anak muda tidak lagi boleh membiarkan perkara tersebut berleluasa tanpa sebarang perubahan dilakukan.
Beliau berkata, walaupun pilihan raya mungkin setahun atau dua tahun lagi, namun gerak kerja anak muda itu perlu dilakukan sekarang bagi memastikan semuanya ‘celik’ kembali dan ambil tahu tentang masa depan negara dan politik yang melibatkan semua skop.
“Saya masih muda tetapi saya sudah letih dan tidak boleh tahan dengan keadaan negara yang semakin teruk ini. Saya yakin hadirin juga sudah tidak tahan dengan semua ini. Mereka tidak nampak apa yang berlaku pada rakyat di bawah ini. Saya menyeru orang di sini, satu perubahan perlu dilakukan.
“Saya harapkan kerjasama yang utuh dan Pakatan 2.0 akan semakin erat lagi selepas ini. Tidak ada lagi masalah selepas ini kerana satu kerugian kalau kita bercakaran antara satu sama lain. Sebagai sebuah parti, DAP, PKR dan parti baru perlu tunjukkan satu contoh yang terbaik, kita mahu rampas Putrajaya,” katanya yang disambut sorakan hadirin.
Lebih 1,200 hadirin membanjiri kawasan bandar satelit Pasir Tumboh bagi menghadiri ceramah sulung parti baru itu di sini, malam tadi.
Selain Pasir Tumboh, beberapa daerah lain turut dipilih bagi mengadakan tujuan yang sama dan orang ramai juga tidak ketinggalan mendapatkan borang penyertaan sewaktu ceramah berlangsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.