Halaman

Jumaat, 4 September 2015

Tidak adil dakwa Malaysia berdepan krisis rasuah

Rasuah


PUTRAJAYA – Dakwaan Pengerusi Transparency International (TI), Jose Ugaz bahawa Malaysia sedang berdepan krisis rasuah adalah satu kenyataan yang tidak adil.

Pengarah Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA) Anti Rasuah, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Ravindran Devagunam berkata, Malaysia amat komited untuk memerangi rasuah dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

“Amat malang kerana kenyataan beliau (Jose) tidak menggambarkan apa yang dilakukan dan telah dicapai oleh kerajaan dalam menangani rasuah. Malah, Malaysia merupakan negara pertama yang menggunakan indeks persepsi rasuah oleh TI sebagai ‘kad laporan’ kita.

“Kedudukan kita dalam indeks tersebut juga semakin meningkat setiap tahun. Jadi bagi saya kenyataan Jose itu sangat tidak adil,” katanya ketika ditemui selepas menjadi ahli panel dalam bengkel sempena Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) ke-16, di sini, hari ini.

Jose dalam ucapannya sempena pembukaan IACC, Rabu lalu, berkata negara sedang berdepan dengan krisis rasuah berikutan isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Menurut Jose, segala usaha kerajaan untuk mengatasi masalah rasuah tidak akan berjaya sekiranya masih ada persoalan yang belum dijawab dalam isu wang RM2.6 bilion.

Mengulas lanjut, Ravindran berkata, kerajaan lain di dunia turut berdepan isu yang hampir sama dengan Malaysia.

Namun, katanya, apa yang lebih penting ialah kerajaan telah berjaya menanganinya dengan baik.

“Paling penting adalah untuk kita memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat. Asalkan kerajaan menunaikan janjinya untuk menjamin ekonomi dalam keadaan baik dan persekitaran yang selamat, maka kerajaan akan dilihat memiliki integriti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pendapatnya mengenai peruntukan undang-undang berkaitan  dana politik, Ravindran menganggap ia satu perubahan yang baik.

“Saya berharap kita dapat mendekati ahli politik dan bukan ahli politik untuk mengetahui cara melakukan perubahan. Kita juga perlu mendidik rakyat agar tidak mengharapkan ‘habuan’ ketika wakil rakyat mereka turun padang.

“Sebaliknya, wakil rakyat perlu dinilai berdasarkan keupayaannya mewakili kawasannya,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.