KOTA KINABALU: Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan supaya
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilarang memasuki Sabah berikutan
tindakannya menemui anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu,
Jamalul Kiram III.
Datuk Mohd Suhaili Said (BN-Tungku) berkata, perbuatan Nurul Izzah itu
amat tidak wajar kerana rakyat negara ini, khususnya di Sabah, begitu
menderita dan marah dengan perbuatan kumpulan bersenjata Sulu menceroboh
Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.
"Apa masalahnya apabila Nurul Izzah menemui Jacel H.Kiram? Jacel minta
bukan apa (tetapi) menuntut Sabah untuk masuk sebagai (Kesultanan) Sulu
punya," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2016 pada persidangan
Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata, soal Kesultanan Sulu atau Filipina menuntut Sabah itu
hal mereka, namun beliau menegaskan rakyat Sabah sudahpun membuat
keputusan dan memilih untuk bersama Malaysia.
Jacel memuat naik empat keping gambar pada 9 November lalu dalam akaun
Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.
Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini, mengaku bertemu Jacel
semasa berada di Filipina bersama dengan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua
sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak
berkepentingan di negara itu.
Menceritakan penderitaan dan kesukaran hidup yang dialami penduduk
Lahad Datu, khususnya dalam DUN Tungku ketika insiden pencerobohan
pengganas Sulu itu, Suhaili berkata keadaan penduduk ketika itu amat
sukar kerana terpaksa lari sehelai sepinggang meninggalkan kediaman
masing-masing untuk menyelamatkan diri selepas pertempuran tercetus.
Ada penduduk yang melarikan diri ke kawasan Felda dan tinggal di dewan
dan sebelum bantuan kerajaan tiba, beliau sendiri terpaksa berhutang
kira-kira RM7,000 untuk membeli barangan keperluan seperti makanan dan
minuman untuk membantu mangsa konflik yang ditimbulkan kumpulan
pengganas Sulu.
Malah, kata Suhaili, berikutan peristiwa itu, empat bayi yang baru dilahirkan turut meninggal dunia.
Justeru, Suhaili mengajak semua rakyat tidak mengira latar belakang
fahaman politik, kaum dan agama supaya terus bersatu mempertahankan
kedaulatan Sabah agar keamanan di negeri Sabah terus kekal dan
terpelihara.
Katanya, aktiviti dan tuntutan kumpulan seperti Sabah Sarawak Keluar
Malaysia yang menghasut untuk membawa Sabah keluar daripada Malaysia
tidak harus dilayan kerana tuntutan seperti itu akhirnya akan membawa
kepada keadaan tidak aman dalam negara.
Ketika membahaskan isu sama, Datuk Ahmad Bujang (BN-Sindumin), turut
meminta kerajaan supaya tidak membenarkan sama sekali Nurul Izzah
memasuki Sabah atas tindakannya menemui Jacel bagi meminta simpati untuk
membebaskan bapanya dari penjara.
Ahmad berkata, Nurul Izzah tidak seharusnya meminta bantuan orang luar
untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.