HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 November 2015

Isu lima ADUN PKR Pulau Pinang akan dirujuk ke mesyuarat PH jika berbangkit

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PKR menganggap isu lima wakil rakyatnya daripada Pulau Pinang yang tidak mengundi usul projek tebus tanah daripada pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu lalu sebagai sudah selesai.
 
Hal itu ditegaskan oleh Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli ketika ditemui media di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Bagaimanapun ia akan dibawa ke mesyuarat Pakatan Harapan sekiranya masih ada isu berbangkit berhubung tindakan lima ADUN tersebut.
 
"Kita berpuas hati dengan penjelasan mereka. Kita menggalakkan dan terima amalan undi berdasarkan suara hati di dalam sistem demokrasi. 
 
"Serahkan pada mereka. Jika ada lagi isu berbangkit selepas ini, kita akan rujuk ia ke peringkat Pakatan Harapan, itulah yang sepatutnya," kata Rafizi.
 
Terdahulu PKR Pulau Pinang mempertahankan tindakan lima ADUN parti itu yang tidak mengundi usul projek tebus tanah daripada pembangkang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu minggu lalu kerana ia “pengundian berdasarkan suara hati”.
 
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, meskipun tidak bersetuju dengan pendirian Umno berkenaan isu tambakan laut itu, parti tersebut berpendapat usul memohon supaya projek tebus guna tanah pada masa akan datang melalui proses kaji selidik alam sekitar yang menyeluruh adalah baik.
 
Beliau berkata, pada dasarnya PKR membenarkan pengundian mengikut suara hati, atau “conscience vote”, di dalam isu-isu tertentu.
 
Jumaat lalu, lima ADUN PKR Pulau Pinang, iaitu Ong Chin Wen, Dr Norlela Ariffin, Lee Khai Loon, Cheah Kah Peng dan Dr T Jayabalan mengambil pendirian untuk berkecuali dalam undi usul berkenaan di Sidang DUN negeri itu.
 
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula menyifatkan lima ADUN PKR itu seolah-olah 'bersama Umno' apabila mengambil sikap berkecuali dan PKR mesti menilai dengan teliti keputusan mereka yang terlibat.
 
 

Tiada ulasan: