KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengemukakan satu usul mengikut
peraturan 27 (3) dan 80 Peraturan Mesyuarat untuk merujuk Ahli Parlimen
Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan
Parlimen berikutan isu perjumpaan beliau dengan anak perempuan bekas
ketua pengganas Sulu, Jacel Kiram.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata, langkah itu adalah bagi memberi peluang kepada Naib Presiden
PKR itu menjelaskan tindakannya kepada jawatankuasa tersebut.
Katanya, ini memandangkan Nurul Izzah gagal memberi jawapan jelas berhubung perjumpaannya dengan Jacel.
“Meskipun Nurul Izzah cuba memohon maaf atas perbuatannya itu, sebagai
seorang ahli Parlimen, tindakannya itu tidak boleh diterima, bercanggah
dengan ikrar yang dilafazkan untuk melindungi kedaulatan negara dan
mengangkat keluhuran Perlembagaan.
“Ini bermakna, beliau sedar sepenuhnya tentang hal ehwal kedaulatan
negara. Kerajaan ingin tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi
terhadap sebarang pengingkaran terhadap ikrar tersebut,” katanya dalam
satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Izzah sebelum ini dilaporkan bertemu dengan Jacel di Manila,
Filipina berikutan penyebaran gambar beliau dengan anak sulung ketua
pengganas berkenaan.
Azalina menambah, gambar Nurul Izzah bersama Jacel yang ada kaitan
dengan pihak yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013 itu
mencerminkan ketidaksetiaan kepada negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.