Halaman

Rabu, 25 November 2015

Salleh Man tak patut belakangkan pendirian PAS - Azman Shapawi

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Wakil tunggal PAS di Pulau Pinang Datuk Mohd Salleh Man tidak terdesak untuk membuat pendirian sendiri berhubung kedudukan serta masa depannya dalam pentadbiran negeri Pakatan Harapan yang diterajui DAP itu.
 
Justeru Pengerusi Lajnah Dakwah PAs Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani berkata kedudukan Mohd Salleh sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri (MAIPP)  tidak sepatutnya menjadi halangan untuk menyatakan kesetiaan kepada parti Islam itu.
 
"Saya merasakan bahawa dia tidak berada dalam keadaan terdesak maknanya kalau nak kekalkan jawatan itu dia kena bersama dengan  Pakatan Harapan.
 
"Dia tidak terdesak, kalau jawatan dia dilucutkan pun kita kena tetap istiqamah bersama perjuangan kita sebab dasar perjuangan parti itu lebih penting  daripada satu jawatan yang ditawarkan kepada beliau," katanya kepada Antarapos.
 
Selain itu beliau menegaskan Mohd Salleh tidak sewajarnya berterusan mengatakan beliau masih ahli PAS dan dalam masa yang sama tetap menyokong pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng.
 
"Saya nampak sepatutnya YB Salleh Man ini kekal bersama PAS, ada amanah yang diberi oleh kerajaan dan tugas-tugasnya berjalan macam biasa.
 
"Dia kena sokong kerajaan negeri itu sebab dia salah seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab di Pulau Pinang dengan tugas yang diamanahkan kepada beliau," katanya.
 
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengisytiharkan parti itu sebagai pembangkang di negeri itu berikutan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menamatkan perkhidmatan 300 ahli JKKK dalam kalangan anggotanya di kawasan Parlimen Kepala Batas.
 
**Salleh Man patut akur dan setia kepada PAS**
 
Azman Shapawi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu akur dengan keputusan PAS pusat yang mengisytiharkan parti itu sebagai pembangkang di negeri ini berikutan pemecatan ahlinya oleh parti pemerintah.
 
"Tapi dalam masa yang sama dia mesti patuh dan menyatakan kesetiaan kepada parti dia iaitu parti PAS itu sendiri.
 
"Sepatutnya begitu walaupun dia kerja di Pulau Pinang tapi dia berkhidmat di sana untuk rakyat...tidak semestinya bersama dengan Pakatan Harapan sebab dia tetap wakil rakyat," katanya.
 
Ujar bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ini lagi, parti Islam itu tidak pernah meminta Mohd Salleh berundur dari sebarang jawatan kerana beranggapan setiap ahlinya boleh menyumbang pelbagai cara kepada parti tidak kira ada jawatan atau ahli biasa.
 
"PAS tidak minta dia tarik diri daripada terlibat dengan apa-apa tugas di Pulau Pinang sebab kita menang atas sokongan rakya dan kita mahu berkhidmat untuk rakyat.
 
"Adapun kesetiaan mestti kepada parti, dia tidak boleh mengatakan dia akan bersama dengan Pakatan Harapan...dia tidak boleh kata macam itu," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.