KUALA LUMPUR,  Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pasti wujudnya gerakan menubuhkan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno, ketika krisis Menteri Besar, tahun lalu.


Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik, tetapi tegasnya, beliau tidak terlibat dengan sebarang gerakan sedemikian.

“Saya tidak terlibat dalam hal ini. Saya ingat dalam politik bahawa perbincangan-perbincangan antara satu sama lain mungkin berlaku, mungkin tak.

“Pada saya, sahnya bila dah berlaku. Jadi, yang lain spekulasi politik sahaja,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post di lobi Parlimen, hari ini.

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebelum ini mendakwa, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu bekerjasama dengan Umno, ketika krisis Menteri Besar Selangor yang menyaksikan Abdul Khalid digugurkan daripada jawatan itu.

Bagaimanapun kata Abdul Khalid, hubungan antara PAS dan Umno bukan perkara baru dalam politik di negara ini.

“Jadi, penelitian saya sejak awal lagi, Umno dan PAS bukan hanya baru-baru ini ada hubungan. Adakalanya bersatu, berpecah, bincang, jadi tidak hairan perkara ini berlaku.

“Mereka ada pengalaman manis dan pahit. Saya tak boleh komen,” katanya.