HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Disember 2015

'Penuntut Afrika kahwin wanita tempatan bagi dapatkan kerakyatan'

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan adanya wanita Malaysia yang sanggup menjadi isteri kepada penuntut Afrika bagi melayakkan lelaki asing itu mendapatkan taraf kerakyatan dan memiliki lesen premis di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata lesen itu adalah hak warga Malaysia tetapi digunakan penuntut Afrika yang mengahwini wanita tempatan.

Justeru, beliau meminta kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan memberi kerjasama untuk mengenal pasti mereka yang menyalahgunakan lesen premis berkenaan.

Semasa mengulas kebanjiran rakyat Afrika di negara ini dan cadangan memperketat syarat kemasukan pelajar negara itu ke Malaysia, beliau berkata ada penuntut Afrika yang menyalahgunakan visa pelajar untuk melakukan aktiviti jenayah di negara ini.

"Mereka (mendaftar) masuk di pusat-pusat bahasa di negara ini, tetapi tidak belajar... mereka menjadikan tempat kediaman mereka sebagai makmal memproses dadah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Deklarasi Prioriti 2016 Ekonomi Keutamaan Kita anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, katanya Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) turut menangkap beberapa warga Afrika di negara ini.

Namun, Ahmad Zahid berkata adalah tidak adil menuduh semua penuntut Afrika di negara ini sebagai penjenayah kerana hanya segelintir daripada mereka yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

Mengenai penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) di negara ini, Ahmad Zahid berkata peralatan bagi pusat berkenaan sedang diperoleh oleh negara ini.

"Kita juga telah mempelajari apa yang dilakukan di (pusat mesej) Dubai dan pegawai-pegawai kanan kita yang terlibat sedang menjalani program latihan berkenaan," katanya.

Malaysia dan Amerika Syarikat bersetuju menubuhkan RDC3 di negara ini bagi memerangi penyebaran ideologi dan propaganda ekstremisme oleh kumpulan militan menerusi Internet.- Bernama


Tiada ulasan: