BERNAMA
Nik Nazmi, 34, yang
didakwa untuk kali ketiga bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah
selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ghazali Cha.
SHAH ALAM, Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dakwaan menganjurkan perhimpunan ‘Black 505’ tanpa kebenaran di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya, kira-kira tiga tahun lepas.
Nik Nazmi, 34, yang didakwa untuk kali
ketiga bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan
dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ghazali Cha.
Mengikut pertuduhan, Nik Nazmi yang
merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal
Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, didakwa gagal memaklumkan
kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum
penganjuran program ‘Black 505’ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling
Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana
Jaya di Petaling Jaya pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1)
Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum menurut Seksyen 9(5) akta
sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit
kesalahan.
Nik Nazmi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013.
Beliau kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Nov 2013.
Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan
membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan
terhadapnya sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pada 6 Februari 2014, Nik Nazmi didakwa kali kedua terhadap pertuduhan sama.
Bagaimanapun pada 6 Mei 2014, Hakim
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan
itu selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes
berkenaan.
Hakim tersebut juga mengambil kira
keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk
menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April 2014.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah
membenarkan jaminan RM1,000 terhadap Nik Nazmi dengan seorang penjamin
dan menetapkan 13 hingga 16 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan,
manakala 19 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ketika ditemui pemberita setelah selesai
prosiding, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Nik Nazmi berkata,
pihaknya akan memfailkan permohonan minggu ini bagi membatalkan
pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.